Simposium TVET Wadah Tepat… Himpun Pelbagai Idea, Pengalaman Praktikal

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) anjuran Institut Asia-Eropah (AEI) adalah wadah yang tepat dan bermakna dalam menghimpunkan idea serta pengalaman praktikal.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah merasmikan simposium tersebut pada Rabu.

”Ketika merasmikan Simposium TVET anjuran AEI, Universiti Malaya (UM), saya menegaskan bahawa dunia hari ini bergerak pantas dan jika kita lambat bertindak atau gagal merebut peluang yang muncul, kita pasti akan ketinggalan.

“Perkara ini turut terpakai dalam bidang TVET yang kini berkembang pesat… menuntut pendekatan baharu yang lebih progresif dan bersepadu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau yakin bahawa negara mampu memantapkan bidang TVET dengan kerjasama erat antara institusi, industri dan pembuat dasar.

“Simposium ini adalah wadah yang tepat dan bermakna. Ia menghimpunkan pelbagai idea dan pengalaman praktikal sekaligus menyediakan ruang untuk menyambungkan usaha latihan dengan keperluan sebenar ekonomi serta masyarakat kita.

“Hubungan antara latihan dan realiti pekerjaan ini akan menjadi lebih kukuh apabila TVET melahirkan keupayaan sebenar iaitu individu yang bersedia menyumbang secara bermakna di tempat kerja, industri serta komuniti.

“Dengan kerjasama erat antara institusi, industri dan pembuat dasar serta tumpuan yang jelas terhadap kecemerlangan, saya yakin kita mampu melangkah ke hadapan dalam bidang TVET dengan lebih proaktif, berdaya saing dan bakat kita memenuhi kehendak pasaran kerja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada UM kerana berjaya meningkatkan kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia ke tangga 58.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada UM atas kejayaan membanggakan apabila terus meningkatkan kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia, kini berada di tangga ke 58.

“Ini bukan sahaja satu pengiktirafan antarabangsa, tetapi juga bukti kejayaan hasil usaha kolektif seluruh warga UM dalam pelbagai cabang ilmu dan kepakaran.

“Antaranya termasuklah peranan penting TVET di UM yang telah memperkukuh ekosistem pendidikan menyeluruh dan menyumbang kepada peningkatan reputasi global universiti ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79