UMNO Libaran Dan BPUN Kedah Mantapkan Gerak Kerja, Perkukuh Ukhuwah Perjuangan
SANDAKAN, 2 Julai – UMNO Bahagian Libaran dan Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Kedah terus memperkukuh semangat muafakat dan ukhuwah perjuangan menerusi lawatan kerja dan program bersama yang berlangsung di kawasan Libaran menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir bersama Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah meninjau gerak kerja jentera akar umbi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kayu di sini sebagai sebahagian daripada program solidariti UMNO Kedah ke Sabah.
“Lawatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi lambang kesepakatan dan iltizam yang tinggi antara negeri.
“Kehadiran pimpinan tertinggi dari UMNO Kedah ke bumi Libaran amat saya hargai dan ia menjadi suntikan moral kepada seluruh jentera UMNO Libaran untuk terus bekerja kuat, berstrategi dan mendekati rakyat,” kata Suhaimi menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Terdahulu satu Majlis Makan Malam Muhibah turut diadakan yang menghimpunkan kepimpinan UMNO Bahagian Libaran empat peringkat bersama rombongan UMNO Kedah.
“Majlis ini memperlihatkan semangat kekeluargaan dan muafakat antara dua negeri, membabitkan Libaran dan Kedah yang saling berkongsi iltizam serta pengalaman dalam memperkukuh jentera dan gerak kerja parti,” tambah beliau.
Suhaimi menegaskan bahawa pertemuan seperti ini amat bermakna, lebih-lebih lagi ketika UMNO Sabah sedang melangkah ke fasa persiapan rapi menghadapi PRN ke-17.
“UMNO Libaran terus memperkemas organisasi di semua peringkat dan yakin bahawa dengan sokongan serta semangat solidariti seperti ini, kita mampu membawa kemenangan yang bermaruah dan meyakinkan.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMNO Kedah atas komitmen yang ditunjukkan dan menyeru seluruh jentera untuk bersatu teguh dan berjuang demi rakyat.
“UMNO bukan sekadar parti, tetapi keluarga perjuangan yang sentiasa bersama dalam susah dan senang. Ayuh, kita bangkit bersama!” tegas beliau penuh semangat. – UMNO Online