Pertahankan UMNO Di Sabah, Penting Kemenangan Setiap Kerusi Ditandingi – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbesar hati turun padang ke Negeri Di Bawah Bayu, Sabah bagi meninjau gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau ke UMNO Bahagian Kinabatangan yang merupakan bahagian angkat diamanahkan kepada UMNO Pahang.

“Kehadiran saya di bumi Sabah dimulakan dengan kunjungan ke UMNO Bahagian Kinabatangan yang diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Kinabatangan merupakan salah satu Bahagian yang diamanahkan kepada Barisan Nasional (BN) Pahang untuk dibantu dalam PRN Sabah yang bakal berlangsung pada bila-bila masa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada kunjungan tersebut Menteri Besar Pahang itu juga turut mengingatkan akar umbi bahagian tersebut untuk bersolidariti sebaiknya sebagai keluarga besar UMNO bagi memastikan kemenangan UMNO/BN di kawasan ini.

“Dalam pertemuan saya bersama akar umbi parti, saya mengingatkan mereka akan pengorbanan yang telah dilalui oleh Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar terutamanya apabila UMNO Sabah kehilangan sebahagian besar pemimpinnya suatu masa dahulu.

“Bung Moktar adalah lambang kesetiaan dan perjalanan berliku yang dilalui oleh UMNO Sabah. Beliau adalah sahabat sejati untuk kita meletak harapan disaat sukar, suka dan duka.

“Tiada jalan lain untuk membalas jasa beliau mempertahankan UMNO di Sabah selain kemenangan di setiap kerusi yang ditandingi BN. Kami dari Pahang akan membantu!” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79