GOTV Zon Timur Sabah, Persiapan Rapi Jentera Hadapi PRN – Wan Rosdy

SANDAKAN, 2 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan Kursus ‘Get Out The Voters’ (GOTV) Zon Pantai Timur Sabah yang berlangsung di sini sebagai langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Pahang, kursus ini bukan sekadar perhimpunan politik semata-mata, malah merupakan platform latihan intensif yang menyeluruh meliputi aspek mental, fizikal dan teknikal bagi memastikan para peserta benar-benar bersedia turun ke medan perjuangan.

“Kursus seperti ini amat penting untuk memperkukuhkan daya tahan mental, ketangkasan fizikal serta kefahaman teknikal jentera UMNO dalam mengurus strategi dan gerak kerja pilihan raya,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau telah merasmikan Majlis Penutup kursus berkenaan, semalam.

Wan Rosdy turut menzahirkan rasa kagumnya terhadap semangat tinggi yang ditunjukkan para peserta, khususnya dari kawasan Libaran, yang tetap hadir walaupun terpaksa menggendong anak kecil.

Ia, katanya, adalah simbol komitmen luar biasa akar umbi terhadap perjuangan parti.

Mengulas ucapan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, beliau turut menyokong kenyataan “nak menang, mesti kerja macam orang yang nak menang” yang disifatkan sebagai gambaran jelas semangat juang tinggi UMNO Sabah dalam mendepani cabaran politik negeri.

“UMNO Sabah bersedia. Jentera telah dan sedang dilatih. Kemenangan adalah satu-satunya matlamat yang kita tuju bersama,” tegas Wan Rosdy lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79