DNA Khidmat Kepada Rakyat: Pusat Aduan Komuniti UMNO Hang Tuah Jaya Pemudah Cara
MELAKA, 2 Julai – DNA UMNO sudah tidak asing dan tidak boleh dipertikaikan lagi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat baik dari segi kebajikan hinggalah kepada perkara yang melibatkan agenda kepentingan agama, anak bangsa dan tanah air.
Berdasarkan perkara tersebut, walaupun tidak berkhidmat sebagai wakil rakyat, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Aduan Komuniti Hang Tuah Jaya bermula September 2023 lalu di Pejabat UMNO bahagian, di Bukit Katil, di sini.
Ujarnya, kewujudan pusat tersebut adalah sebagai usaha mereka dalam memenuhi permintaan rakyat kawasan itu tanpa mengira kaum sebagai pemudah cara dan tanpa menyaingi mana-mana pihak tertentu.
“UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Aduan Komuniti tak lain tak bukan berhasrat supaya masyarakat dapat dekat kepada UMNO.
“Terutama kepada mereka yang mahu mengadu nasib dan meminta bantuan terhadap masalah yang mereka alami, supaya kita permudahkan,” kata pemegang Ijazah Kejuruteraan Elektronik, Universiti Auckland itu kepada UMNO Online.
Tambah Mohd Ridhwan, Pusat Aduan Komuniti UMNO Hang Tuah Jaya dibuka secara konsisten pada setiap Hari Selasa setiap minggu, selepas waktu bekerja bermula pukul 5 petang hingga 7 malam kecuali cuti umum bagi memudahkan rakyat berurusan.
Jelasnya lagi, segala aduan dan permasalahan yang diutarakan akan dipermudahkan dengan sebaiknya termasuk sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan agensi berkaitan baik kerajaan mahupun swasta.
“Alhamdulillah setakat hari ini telah terima banyak aduan, lebih seratus pengadu. Setiap minggu (anggaran) tiga ke lima orang pengadu akan hadir. Segala permasalahan, aduan akan kita lihat dan bantu untuk permudahkan kerana ada yang tidak tahu saluran dan mereka lihat UMNO mampu bantu.
“Kita akan rujuk kepada agensi atau pemimpin yang boleh bantu. Alhamdulillah, semua aduan telah kita beri respon dan berusaha sehabis baik cuba bantu dan selesaikan. Kami konsisten dan memberi komitmen sejak peringkat awal,” kata bekas Ahli Dewan Negara itu lagi.
Menurut Presiden Gerakan Belia 4B itu lagi, sepanjang membuka pusat komuniti itu, terdapat dua golongan yang berurusan dengan pihaknya.
“Satu, tidak tahu ke mana nak pergi. Mereka ini akan merujuk kepada Ketua-ketua UMNO cawangan dan jika tidak boleh diselesaikan, akan dirujuk kepada kami. Melalui rangkaian yang wujud antara UMNO bahagian bersama agensi atau wakil rakyat, setiap permasalahan akan dirujuk kepada mereka.
“Kedua, golongan yang hanya mahu UMNO bahagian yang membantu mereka. Mereka mahukan UMNO melalui Ketua-ketua UMNO cawangan dan kami membuat lawatan seperti ziarah kasih serta bantuan kebajikan, hasil kerjasama bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“UMNO bahagian juga membantu aduan-aduan yang dipandang ringan dan dipinggirkan pihak lain,” katanya.
Manakala berhubung dengan penerimaan rakyat, Mohd Ridhwan berkata maklum balas yang diterima oleh mereka yang pernah berurusan di Pusat Aduan Komuniti Hang Tuah Jaya amat baik sekali.
“Maklum balas sangat baik. Walaupun kita ada agensi kerajaan dan institusi wakil rakyat dan sebagainya, UMNO juga perlu dilihat sebagai satu parti yang memberikan perkhidmatan.
“Apabila mereka (pengadu) ke pejabat UMNO, dan UMNO merujuk kepada wakil rakyat dan agensi, ia memberi impak yang cukup positif kepada parti.
“Di situ kita melihat parti dapat satu imej yang cukup baik, apatah lagi hubungan baik kita bersama agensi kerajaan dan wakil rakyat,” kata Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) itu lagi. – UMNO ONLINE