Nahas Bas UPSI: Noraini Ziarah Mangsa Perodua Alza

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Wanita UMNO Malaysia , Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menziarahi mangsa Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan dengan bas yang membawa para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan rasa simpati terhadap musibah menimpa keluarga tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu.

“Saya telah menziarahi mangsa kemalangan tragis membabitkan sebuah kereta Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan dengan bas membawa pelajar-pelajar UPSI hingga mengakibatkan 15 kematian.

“Mangsa, Mohd Lutfi Radzi, 37 tahun, seorang guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau bersama keluarganya terlibat dalam nahas tersebut. Beliau yang memandu kereta Perodua Alza telah dilanggar dari belakang oleh bas yang membawa pelajar UPSI. Isteri beliau, Nurul Ain Zakaria, 36 tahun, mengalami kecederaan serius dengan empat tulang rusuk patah.

“Anak perempuan mereka, Nur Aisyah Nafishah, 6 tahun, turut mengalami kecederaan patah kaki dan kini dipasang besi penstabil. Anak lelaki mereka, Mohamad Ahsan Nafis, 2 tahun, dilaporkan tercampak keluar daripada kenderaan ketika insiden berlaku namun syukur tiada kecederaan serius dialami,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Wanita UMNO Malaysia akan sentiasa membantu meringankan beban keluarga tersebut dari aspek pemulihan dan kebajikan mereka.

“Saya ingin menyatakan rasa simpati dan keprihatinan mendalam di atas musibah yang menimpa keluarga ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan juga semua pihak yang telah memberikan rawatan serta sokongan kepada mangsa sekeluarga.

“Wanita UMNO Malaysia akan sentiasa bersama membantu meringankan beban keluarga ini, khususnya dalam proses pemulihan dan kebajikan mereka.

“Kami ingin menyeru masyarakat untuk terus mendoakan kesembuhan dan kekuatan buat keluarga Mohd Lutfi Radzi, serta mengambil iktibar terhadap keselamatan di jalan raya demi mengelakkan tragedi yang sama berulang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79