“Komuniti Prihatin” Kukuhkan Tanggungjawab Sosial DUN Gemencheh Untuk Rakyat

TAMPIN, 1 Julai – Komitmen berterusan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah terus diperkasa menerusi penganjuran Program Community Empowerment “Komuniti Prihatin” yang berlangsung di sini, semalam.

Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, yang turut menzahirkan penghargaan terhadap penglibatan aktif komuniti setempat dalam menyokong inisiatif pencegahan dadah secara kolektif.

Menurut beliau, usaha membanteras dadah tidak boleh digalas oleh pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan dukungan padu semua pihak termasuk kepimpinan kampung, institusi pendidikan, golongan belia dan masyarakat setempat.

“Komuniti merupakan benteng pertama dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Apabila masyarakat bersatu dan mengambil tanggungjawab, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujar beliau.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini menyaksikan penglibatan aktif pelbagai agensi dan badan komuniti seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Punggur, Kelab Rukun Tetangga (KRT) Pekan Batang Melaka, Majlis Daerah Tampin, Pejabat ADUN Gemencheh serta wakil-wakil komuniti dari sekitar Kampung Punggur dan Pekan Batang Melaka.

Lebih membanggakan, program ini turut disertai oleh para sukarelawan SKUAD Antidadah yang terdiri daripada pelajar Shipping & Aviation College (SAC) Tampin.

Penganjuran Program “Komuniti Prihatin” ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan komuniti mampu memberikan impak besar dalam usaha pencegahan dadah selain menjadi medan terbaik untuk memperkukuh nilai kebersamaan, keprihatinan dan solidariti dalam kalangan rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79