Dr Akmal Hargai Jasa, Bimbingan Bekas Pimpinan UMNO Jasin
JASIN, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengucapkan terima kasih dan amat menghargai jasa bekas pimpinan bahagian itu yang memperkenalkannya kepada UMNO.
Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, individu yang bertanggungjawab membawanya kepada UMNO adalah bekas Ketua UMNO bahagian iaitu Datuk Seri Ahmad Hamzah.
“Saya tidak akan berada di sini tanpa bantuan daripada senior. Terima kasih kepada mantan Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Hasan Abd Rahman, mantan Timbalan Ketua juga mantan ADUN Merlimau Datuk Roslan Ahmad.
“Orang yang membawa ke dalam UMNO Jasin… orang yang kenalkan saya kepada UMNO Jasin. Masa saya SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun 2006 dapat anugerah daripada UMNO Jasin dan orang yang beri anugerah itu ada bersama kita di sini… takkan saya lupakan sampai bila-bila ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah,” katanya ketika menyampaikan kata-kata aluan di dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini pada Ahad.
Ahmad yang juga bekas Ahli Parlimen Jasin mendapat ‘standing ovation’ atau tepukan yang gemuruh daripada lebih seribu perwakilan, tetamu jemputan dan pemerhati yang hadir.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Dalam majlis tersebut, Ab Rauf turut menyampaikan anugerah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM bagi tahun lalu.
Hadir sama Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Rais Yasin, Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Kalsom Noordin merangkap Exco Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan UMNO negeri dan bahagian.
Turut hadir sebagai pemerhati UMNO Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), mahasiswa anak Melaka Universiti Sains Malaysia (USM) dan Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Seterusnya, Dr Akmal yang mula memimpin bahagian itu ketika berusia 34 tahun pada tahun 2023 turut berkata, tanpa bimbingan dan tunjuk ajar daripada pemimpin terdahulu sudah pasti tidak wujud generasi pemimpin muda dan juga kerana berada dalam landasan perjuangan UMNO.
“Kenapa saya sebut pemimpin-pemimpin terdahulu. Kerana tidak mungkin kita berada di depan ini tanpa pemimpin-pemimpin terdahulu. Yang mengangkat kita semua ini tidak lain dan tidak bukan ialah parti keramat UMNO.
“Kita semua sayang parti ini. Sayang bukan sekadar di mulut, tetapi mesti dengan kata-kata dan perbuatan. Kenapa kita sayang parti kita ini? Sebab inilah satu-satunya parti daripada dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya UMNO adalah untuk orang Melayu, orang Islam dan Raja-Raja Melayu,” ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, Dr Akmal turut menyentuh mengenai sentimen yang sering dimainkan oleh pihak lawan berkaitan kerjasama di dalam kerajaan bersama Dap.
“Walaupun ramai yang kata UMNO dah duduk dengan Dap, dah Jadi UMDap tapi saya nak beritahu… UMNO tidak pernah menjadi sesiapa. Kita duduk dengan sesiapa sekalipun, kita berani tegur sama ada kawan mahupun lawan.
“Kalau pihak sana dulu pernah duduk dengan Dap, tapi masa tu mereka tegur pun tak berani. Tapi hari ini yang kuat menegur sama ada kawan atau lawan, inilah parti keramat kita iaitu UMNO,” tegasnya lagi.
Katanya lagi, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka menubuhkan kerajaan negeri secara dominan, tetapi Ab Rauf mengambil semangat perpaduan yang wujud di peringkat pusat dengan memberi tempat kepada rakan parti Kerajaan Perpaduan menganggotai anggota pentadbiran negeri dan juga ahli majlis di agensi pihak berkuasa tempatan. – UMNO ONLINE