Sekretariat Wanita Profesional Terus Komited, Lahir Pemimpin Pelapis Negara – Dr Masliha
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) terus memperkukuhkan peranannya dalam melahirkan pemimpin wanita masa depan apabila dua orang ahlinya terpilih menyertai program berprestij Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025.
Pengerusinya, Dr Masliha Harun berkata, dua wakil SWP yang berjaya dalam kalangan 56 peserta terbaik ialah Noor Saadah Mohammad Yusof dan Siti Suhaili Sulaiman.
Katanya, penyertaan mereka dalam program ini bukan saja membanggakan tetapi memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita profesional untuk terlibat dalam isu dasar dan politik negara.
“SWP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Noor Saadah Mohammad Yusof dan Siti Suhaili Sulaiman atas pemilihan mereka ke dalam program SIWANIS 2025. Diharapkan kedua-dua mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi suara yang mewakili aspirasi wanita di arena politik.
“Penglibatan aktif ahli SWP dalam program SIWANIS bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak tahun 2024, beberapa ahli SWP seperti Dr. Siti Aishah Md Radzi atau lebih dikenali sebagai Dr Anje dan Noor Salbiah Puteh telahpun menyertai SIWANIS, sama ada sebagai peserta mahupun ahli sekretariat.
“Penglibatan berterusan ini mencerminkan peranan SWP dalam memberi ruang kepada ahli-ahlinya yang terdiri daripada golongan profesional, untuk meneroka bidang politik secara tidak langsung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO berkata, selain itu SIWANIS juga memperkukuhkan representasi wanita dalam landskap politik tanah air.
“SIWANIS merupakan sebuah program yang bertujuan mencungkil bakat dan potensi wanita dalam memahami isu-isu dasar serta aspek tadbir urus yang baik.
“Ia menjadi platform penting bagi melatih barisan pelapis wanita yang mampu bersaing secara intelektual, berdaya tinggi dalam arena politik dan pentadbiran negara. Antara kelebihan utama program ini ialah pendedahan kepada proses sebenar pembentukan dasar, latihan kemahiran berdebat dan pembangunan jaringan kepimpinan.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita profesional untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar dan kepimpinan negara,” katanya lagi.
Ujarnya, beliau tidak mahu wanita hanya jadi pemerhati tetapi turut sama berada di meja perbincangan dan menentukan hala tuju negara. – UMNO Online