Kerajaan Madani Komited Terhadap Kesejahteraan Warga FELDA – Azalina
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Insentif yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada para peneroka FELDA membuktikan bahawa Kerajaan Madani sentiasa komited terhadap kesejahteraan warga tersebut.
Ahli Parlimen Pengerang merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan telah berlangsung Program Sambutan Hari Peneroka FELDA Madani peringkat Negeri Johor pada Ahad.
“Telah berlangsung Program Sambutan Hari Peneroka FELDA Madani peringkat Negeri Johor yang diadakan di Felda Tunggal, Bandar Penawar, Pengerang pada Ahad.
“Sambutan tiga hari dua malam itu telah berlangsung cukup meriah dengan kehadiran hari terakhir sahaja mencecah 7,000 pengunjung berbanding sasaran awal seramai 3,000 pengunjung. Program diserikan dengan kehadiran Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan barisan kepimpinan negeri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana memilih Felda Tunggal yang berada dalam Parlimen Pengerang sebagai tuan rumah.
“Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar Johor dan pengurusan FELDA terutama pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kerana telah memilih Felda Tunggal dalam kawasan Parlimen Pengerang sebagai tuan rumah sambutan yang cukup meriah ini.
“Saya harap warga FELDA akan memanfaatkan peluang ini serta segala insentif yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Johor semalam sebaiknya dan ini merupakan bukti jelas komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Madani terhadap kesejahteraan warga FELDA,” katanya lagi. – UMNO Online