Manfaat Mesyuarat Bahagian Bawa Keperluan Semasa Rakyat Di Kawasan
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berharap mesyuarat bahagian yang dilaksanakan di seluruh negara pada ketika ini dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh solidariti dalam kalangan akar umbi parti.
Menurut beliau ia juga sebagai platform untuk merangka pembangunan kepada kawasan sesuai dengan keperluan semasa rakyat di kawasan.
“Mesyuarat bahagian ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16, dan mesej yang disampaikan oleh Presiden parti itu kita dapat sampaikan kepada semua sidang perwakilan.
“Juga sebagaimana kehendak Presiden, kita jangan berpecah belah, terus solidariti yang penting bagi menghadapi pilihan raya.
“Melalui ini juga kami membawa isu rakyat yang penting seperti pembangunan termasuk jalan raya, surau dan masjid, keperluan anak-anak nak masuk universiti,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.
Mengulas lanjut Dr Azhar berkata, sebagai ahli parti beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti bagi menentukan hala tuju parti.
Jelas beliau, sebagai ahli parti yang bersetia beliau dan akar umbi Beruas menghormati keputusan ditetapkan kepimpinan bagi memastikan kesepaduan dalam kalangan keluar besar UMNO terus dikekalkan.
“Kami menyerahkan segala-galanya kepada pucuk pimpinan negeri dan Malaysia untuk menentukan hala tuju menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kalau kata Presiden hendak teruskan dengan Kerajaan Perpaduan silakan kami ikut.
“Kerana kami adalah ahli parti yang setia kepada kepimpinan… baru pemimpin-pemimpin senang merangka gerak kerja seterusnya,” ujar beliau. – UMNO Online