Rakyat Perlu Matang Nilai Permainan Politik Dibawa Pihak Lawan – Fakhruddin

PEKAN, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyifatkan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) perlu dijadikan iktibar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata ini kerana ia memberikan kesan kepada kerajaan sehingga menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini sebagaimana kejatuhan BN, kesannya kepada ekonomi negara yang tidak semakin baik.

“Contohnya macam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila kerajaan jatuh saja, sepatutnya tahun ini sudah siap tetapi kerana kelekaaan kita ekonomi pun jadi lemah, ECRL pun jadi lewat, tahun depan satu lagi baru.

“Jadi banyak perkara yang perlu dinilai oleh rakyat,” katanya.

Fakhruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang berkata demikian ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Justeru itu kata beliau, rakyat perlu matang dalam menilai permainan politik dibawa pihak lawan.

Mengulas lanjut Fakhruddin berkata, pemimpin parti termasuk kepimpinan kerajaan negeri Pahang komited dalam melaksanakan agenda perkasa rakyat bagi memastikan kesejahteraan prestasi negeri di landasan yang tepat.

“Kadang-kadang dengan fitnah dan dakyah diwujudkan oleh pihak yang tidak bersama dengan kita kerana matlamat untuk memastikan mereka memperoleh kuasa untuk membentuk kerajaan.

“Sekarang ini Pahang mencapai ekonomi antara yang terbaik, negeri yang kedua paling bahagia dan disebabkan prestasi seperti ini saya minta rakyat seluruh Pahang dapat mengekalkan kerajaan sedia ada supaya lebih banyak manfaat dapat dilaksanakan kepada kehidupan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79