Veteran UMNO Digalak Manfaat Media Sosial, Jayakan Agenda Maju Johor
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Veteran UMNO digalakkan untuk memanfaatkan media sosial bagi menjayakan agenda ‘Maju Johor’, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan satu pertemuan bersama kepimpinan Veteran UMNO Johor telah diadakan untuk memperkukuh kerjasama penerangan.
“Sebelum sesi bersama media, kami berkesempatan bertemu kepimpinan Veteran UMNO Johor untuk memperkukuh kerjasama penerangan di semua peringkat. Saya berkongsi hasrat agar naratif Veteran selari dengan naratif UMNO Johor dan kerajaan negeri, iaitu membawa agenda #MajuJohor demi kesejahteraan rakyat.
“Veteran juga digalakkan memanfaatkan media sosial termasuk TikTok, sebagai medium penerangan yang lebih dekat dengan masyarakat. Seperti saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, saya mengajak rakan-rakan veteran untuk bersama-sama membantu usaha penerangan UMNO Johor dengan semangat kekeluargaan dan kesepakatan parti,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pemimpin veteran dan penerangan yang hadir untuk menjayakan pertemuan tersebut.
“Terima kasih kepada Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Othman Jais , Naib Pengerusi Veteran UMNO Negeri Johor, Datuk Adam Abdul Hamid dan pegawai veteran kerana sudi meluangkan masa bersama kami serta berkongsi pengalaman politik yang amat bermakna.
“Penghargaan juga kepada Ketua Penerangan UMNO Iskandar Puteri, Datuk Aziz Sapian, Ketua Penerangan UMNO Pulai, Mohamed Kamalruzaman Isa, Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani dan rakan-rakan daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang hadir menjayakan sesi ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Md Israk turut memaklumkan bahawa beliau telah bertemu dengan para pengamal media di Negeri Johor untuk membina saluran komunikasi dua hala.
“Alhamdulillah, berpeluang bertemu rakan-rakan media Johor dalam sesi santai ini untuk mengeratkan hubungan dan membina saluran komunikasi dua hala yang lebih terbuka.
“Pertemuan ini menjadi ruang yang bermakna untuk Penerangan UMNO Johor dan rakan-rakan media saling mengenali di samping memahami peranan masing-masing dalam membawa suara rakyat, menjelaskan dasar kerajaan dengan lebih tepat serta berimbang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Penerangan UMNO Johor amat menghargai peranan media sebagai rakan strategik untuk membina naratif Johor yang responsif dan profesional.
“Kami di Penerangan UMNO Johor amat menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam membina naratif Johor yang progresif dan stabil. Insya-Allah, kami akan terus komited untuk kekal telus, responsif dan profesional dalam setiap kerjasama dengan rakan media. Pintu kami sentiasa terbuka untuk semua.
“Semoga pertemuan ini memberi manfaat kepada gerak kerja Penerangan UMNO Johor dan menjadi langkah bersama dalam menjayakan agenda parti serta agenda #MajuJohor,” katanya lagi. – UMNO Online