Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Terus Diperkasa Melalui ECERDC
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Usaha memperkukuh pembangunan di Pantai Timur terus digiatkan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, setiap inisiatif pembangunan akan dirancang berdasarkan potensi sebenar sesebuah wilayah agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan pembangunan wilayah dilaksanakan secara progresif, menyeluruh dan berteraskan kepentingan rakyat. Setiap pelaksanaan akan disusun berdasarkan potensi sebenar sesuatu wilayah, agar manfaatnya benar-benar sampai ke akar umbi.
“Insya-Allah, segala usaha ini akan terus membuka ruang pertumbuhan ekonomi serantau serta memperkukuh jaringan kesalinghubungan di Pantai Timur. Ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan nasional yang inklusif dan mampan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu turut disertai oleh Menteri Besar Pahang, Terengganu dan Kelantan. – UMNO Online