Berani Aplikasi Teknologi, Aktifkan Media Sosial Demi Perjuangan UMNO – Abdul Rahman

LIPIS, 30 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lipis merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menegaskan bahawa UMNO mesti berani berubah dengan mengadaptasi teknologi terkini sebagai senjata utama dalam menghadapi cabaran politik masa kini.

Berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis pada Sabtu, beliau menggesa semua ahli dan jentera parti agar segera mengaktifkan platform media sosial masing-masing sebagai medan perjuangan.

“Zaman telah berubah kepada yang berkehendakkan mereka mendapat mesej secara jelas dan secara telus. Kita mesti berani hadapi teknologi. Aktifkan media sosial anda… YouTube, TikTok, Facebook. Ini medan baru perjuangan kita,” katanya.

Menurutnya, media sosial kini menjadi ruang utama pengaruh politik, terutamanya dalam kalangan generasi muda, lantas UMNO tidak boleh ketinggalan atau pasif dalam menguasai naratif dan menyampaikan mesej perjuangan parti.

“Jika kita lambat adaptasi, bukan hanya hilang undi, bahkan kita akan hilang masa depan anak cucu kita,” tegasnya sambil menyifatkan keaktifan di media sosial sebagai satu bentuk “perang digital” yang mesti dimenangi.

Beliau turut memuji keberanian ahli-ahli UMNO Lipis yang dilihat berani menggunakan media sosial untuk mempertahankan parti dan menyampaikan mesej perjuangan dengan berkesan.

“UMNO Lipis antara yang paling aktif di medsos. Kita bukan sekadar bersuara, kita berperang di medan digital. Ini kekuatan baharu UMNO yang harus diperkasakan,” katanya.

Tambah beliau, aplikasi teknologi bukanlah pilihan, sebaliknya keperluan mutlak jika parti mahu kekal relevan dan diterima rakyat.

Abdul Rahman juga menyeru semua ahli UMNO supaya memulakan gerakan dari sekarang dan menggunakan media sosial sebagai wahana menyemarakkan semula panji perjuangan UMNO demi masa depan bangsa dan tanah air.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, tetapi saya menjangkakan ia sudah semakin hampir. Namun kita tidak boleh menunggu. Kita tidak boleh leka. Perjuangan mesti bermula sekarang.

“Hari ini, masa depan adalah milik kita. Jika kita leka, kita akan gagal. Jika kita lalai, anak cucu kita akan menjadi generasi yang hilang jati diri. Jika kita tidak peka, kita sendiri akan menjadi bangsa yang tunduk dan mengalah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79