Bangkit Pertahan Bangsa, Jentera UMNO Tunjang Kemenangan PRU – Abdul Razak
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman berpesan jentera parti khususnya Wanita UMNO agar menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan parti menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) amat penting bagi memastikan kepentingan agama, masa depan anak bangsa dan tanah air terus terpelihara ekoran dinamika politik masa semasa.
“Ingat dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kita tiada pilihan. Kita mesti menang atas nama perjuangan, atas nama warisan politik Melayu yang agung, dan atas nama cita-cita untuk menyelamatkan masa depan anak cucu dari terhapus dek arus politik semasa yang semakin menyesakkan.
“Kita memperbaharui baiah perjuangan. Kita hidupkan semula bara yang pernah membakar semangat semua wanita pejuang bangsa yang tidak pernah disebut dalam buku sejarah, tapi jasanya tetap mengalir dalam nadi parti ini.
“Kalianlah muhajirat moden yang perlu melangkah ke hadapan, mendidik anak bangsa, mengawal naratif media sosial, dan berdiri sebagai tembok terakhir mempertahankan UMNO dan BN. UMNO bukan hanya sebuah parti politik tetapi ia adalah darah dalam nadi Melayu, jambatan maruah, dan ia juga adalah penjaga agama, bangsa dan masa depan anak cucu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong yang diadakan di Auditorium UMNO, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Datin Nora’shekin Yusof; Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong, Muzalina Muhamad dan seluruh barisan kepimpinan.
Mengulas lanjut kata Abdul Razak, tahun ini adalah tahun kebangkitan semula, sekiranya ahli parti tidak bangkit maka ia bakal menjadi catatan nota kaki dalam sejarah politik Malaysia.
“Jangan biarkan perjuangan kita berakhir di sini kerana jika bukan kita yang menjaga UMNO, siapa lagi? Jika bukan sekarang kita bangkit… bila lagi? Bangkit bukan sekadar untuk menang esok, tetapi untuk mengembalikan maruah bangsa, harga diri agama, dan masa depan anak cucu kita.
“UMNO bukan tinggal kenangan, akan pastikan parti akan kembali dominan dan sebagai tulang belakang kerajaan. Bukan untuk kuasa, tapi untuk masa depan umat,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, Wanita UMNO sebagai sayap paling setia, paling berani dan akan pastikan suara ini tidak dipinggirkan, tetapi diangkat dan dijulang.
“Hanya dengan kesatuan jitu yang erat sahajalah kita akan dapat bergerak ke hadapan bersama-sama memastikan UMNO Bahagian Kepong khasnya wanita akan terus kekal relevan mengemudi masa hadapan yang lebih gemilang untuk kita semua.
“Api perjuangan bukan untuk disimpan dalam lipatan nostalgia. Ia mesti dihidupkan semula dalam dada anak muda, dan kita semua bertanggungjawab menyalakan kembali obor,” tegasnya lagi. – UMNO Online