Matlamat Kita Menang Pilihan Raya, Jentera Perlu Solid – Dr Noraini
TANGGA BATU, 30 Jun – Setiap jentera parti perlu menanamkan azam dan matlamat yang jelas dalam berpolitik iaitu menang dalam pilihan raya, ujar Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ujar Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, semua peringkat dalam parti mempunyai peranan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab dan kerja yang diamanahkan.
“Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai peranan masing-masing. Wanita dengan tugasan asasnya buat bancian sikap, sentimen dan pengundi luar. Begitu juga Pemuda dan Puteri dengan tugasannya tersendiri.
“Kalau kita solid, bersatu padu peranan kerja yang lain mudah dan kita dapat garap kejayaan. Apa matlamat kita sebagai jentera parti? Matlamat kita adalah untuk menang dalam pilihan raya,” katanya di hadapan hampir seribu perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu dan pemerhati.
Dr Noraini berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Sayap Bahagian itu di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin, Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco Wanita UMNO Malaysia dan kepimpinan bahagian.
Seterusnya kata Dr Noraini, jentera juga mesti bangkit dengan penuh semangat setelah melalui dua episod kegagalan apabila parti kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15, jauh berbeza dengan keputusan tahun-tahun sebelumnya.
“Sudah dua pilihan raya (PRU) kalah. Sebelum itu tidak pernah kalah. Semangat untuk menang kembali perlu ada terutamanya di kalangan jentera-jentera parti.
“Apa yang perlu kita laksanakan. Kita perlu umpama memasak gulai kawah. Gulai kawah jika diguna api yang kuat, akan hangit. Kalau guna api yang perlahan ia lambat masak. Kalau salah letak santan, ia jadi tak sedap. Kalau tak kacau selalu ia akan berketul-ketul.
“Serupalah dengan jentera kena guna ‘api semangat’ itu dengan memberikan resepi yang terbaik kepada rakyat supaya kembali menyokong Barisan Nasional (BN) di dalam pilihan raya akan datang,” tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu.
Mengulas lanjut, Dr Noraini percaya dan yakin UMNO Bahagian Tangga Batu mampu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
“Ketua Bahagian Tangga Batu masih baharu dan beri peluang kepada beliau. Saya yakin dengan kepimpinan beliau memimpin bahagian ini.
“Kita kerja kuat menangkan kembali Parlimen Tangga Batu dan juga di DUN yang kita kalah. Saya doakan yang terbaik buat Tangga Batu,” katanya. – UMNO ONLINE