UMNO Tangga Batu Tekad Rampas Kembali Kerusi Parlimen Dan DUN Sg Udang
TANGGA BATU, 30 Jun – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin berkata pihaknya memberi komitmen akan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Parlimen Tangga Batu.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka itu berkata ia bukan perkara mustahil malah yakin dengan gerak kerja yang jitu dan kesepaduan jentera parti, UMNO/Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kedua-dua kerusi tersebut selain mengekalkan kemenangan tiga lagi kerusi DUN.
“Apa pun persediaan perlu dimulakan daripada sekarang kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya berbaki 14 bulan sahaja. Kita dapat lihat Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka banyak kali menegaskan Barisan Nasional tidak boleh leka.
“Kita kena fokus untuk para jentera bergabung tenaga. Dalam Tangga Batu ini kita mempunyai sebanyak 24 PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan strukturnya telah siap dan gerak kerja bermula awal,” katanya kepada media, selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu di sini, Ahad malam.
Untuk rekod, di dalam Parlimen Tangga Batu terdapat empat DUN dan pada PRN Melaka November 2021 lalu, BN menang tiga kerusi iaitu di DUN Paya Rumput, Pantai Kundur dan Klebang serta kalah satu kerusi di DUN Sungai Udang.
Manalaka bagi kerusi Parlimen Tangga Batu, BN kalah ketika Plihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Seterusnya Rais bersyukur keberkesanan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang telah diadakan di DUN Sungai Udang.
“Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati WRUR Sungai Udang. Namun, tidak sesekali ia menjadi satu tanda aras. Ia sebenarnya sebagai permulaan untuk memastikan UMNO bergerak seiring.
“Selepas ini di DUN Klebang, Pantai Kundur dan akhirnya Paya Rumput,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu lagi.
Menyentuh mengenai majlis perasmian itu yang disempurnakan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Rais bersyukur ia berjalan dengan lancar dan baik.
“Alhamdulillah, UMNO Bahagian Tangga Batu sangat beruntung dan teruja kerana Ketua Wanita UMNO Malaysia sudi hadir ke perasmian sayap-sayap ini. Dalam ucapan tadi beliau banyak menyentuh memberi azimat dan amanat untuk bukan sahaja UMNO Bahagian Tangga Batu malah untuk keseluruhan UMNO Negeri Melaka khususnya.
“Memang secara tradisinya UMNO Bahagian Tangga Batu ketiga-tiga sayap dirasmikan oleh seorang perasmi. Malam ini (Ahad) sahaja 790 perwakilan daripada Wanita, Pemuda dan Puteri hadir.
“Syukur semua berjalan lancar dan Insya-Allah kita doakan para perwakilan dapat meneruskan mesyuarat dengan baik dan tunggu pula minggu hadapan untuk persidangan peringkat bahagian,” katanya. – UMNO ONLINE