Rakyat Makin Matang Nilai Khidmat Bakti UMNO – Abdul Rahim
LEDANG, 30 Jun – Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib memaklumkan pihaknya sentiasa komited mendekati pelbagai lapisan masyarakat di kawasan.
Beliau berkata ia dilakukan secara konsisten dalam memberikan bantuan sewajarnya kepada rakyat di samping menyampaikan aspirasi parti.
“Saya bersama wakil rakyat yang ada melaksanakan kerja sebaiknya, santuni setiap lapisan rakyat.
“Kita sentiasa membantu, di peringkat ketua kampung, di peringkat majlis daerah sentiasa buat kerja bagi menyelesaikan masalah-masalah orang ramai di bawah ini,” katanya.
Abdul Rahim berkata demikian kepada UMNO Online usai perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani serta kepimpinan bahagian.
Mengulas lanjut kata beliau, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Ledang akan terus dipertahankan pihaknya menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya ini kerana rakyat kini sudah matang dalam menilai parti yang berkhidmat sebaiknya kepada rakyat.
“Kerusi-kerusi yang dimenangi dalam PRN yang lepas, kita akan mempertahankan.
“Bila kita buat kerja ini orang sudah nampak UMNO sebagai parti yang menang (DUN) buat kerja, membantu rakyat di seluruh Ledang,” katanya. – UMNO Online