UMNO Belum Terima Sebarang Surat Untuk Kembali Sertai Parti – Ahmad Zahid

BENTONG, 29 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa sehingga kini, UMNO belum menerima sebarang surat rasmi rayuan untuk kembali menyertai parti daripada mana-mana individu.

Ujarnya hal ini kecuali membabitkan permohonan yang telah diluluskan iaitu bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan juga bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Menurut Ahmad Zahid, parti menghormati usul yang dibawa oleh UMNO Bahagian Sembrong berkaitan permohonan individu tertentu, dan sekiranya usul itu turut dibawa oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi), ia akan dibentangkan terlebih dahulu di mesyuarat Biro Politik UMNO.

“Jika mendapat persetujuan di peringkat tersebut, barulah ia akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk keputusan muktamad.

“Prosedur biasa dalam UMNO, individu yang digantung keahliannya perlu menulis surat secara rasmi memohon penggantungan itu ditarik balik. Ini kerana kuasa untuk menggantung dan menarik balik penggantungan adalah hak MKT,” jelasnya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong, hari ini, di sini.

Tambah beliau lagi, UMNO sentiasa berpegang pada prinsip keadilan dan memberi peluang kedua kepada mana-mana individu yang pernah melakukan kesalahan, dengan syarat mereka berani memohon maaf secara terbuka.

“Sikap kita ialah berbaik sangka, dan pendirian saya selari dengan konvensyen kepimpinan UMNO sejak zaman Datuk Onn Jaafar hinggalah ke Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Mengulas mengenai strategi UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid berkata kejayaan bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan jentera parti tetapi turut dipengaruhi oleh sentimen rakyat yang berubah-ubah.

“Politik tidak boleh dibaca secara lurus kerana kadang kala 1+1 bukan menjadi dua. Kita juga perlu tangani persepsi dan sentimen semasa.

“Justeru, strategi kita tidak boleh bersifat konvensional semata-mata. Kita perlu gabungkan metodologi dan kita adakan
‘retreat’, mesti ada kombinasi ‘face to face’ bersama ‘online’ media sama ada media sosial atau lain-lain media,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan PRU akan bergantung kepada pelbagai faktor dan memerlukan persiapan yang rapi dari segi dasar, strategi serta pendekatan komunikasi.

“Kita mesti menjawab isu dalam masa tiga jam. Dalam era sekarang, kecekapan dan ketangkasan dalam memberi respons adalah kunci utama,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79