Budaya Politik UMNO Mesti Berteraskan Akhlak, Hormat Menghormati – Ahmad Zahid
BENTONG, 29 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa budaya politik dalam UMNO harus berteraskan akhlak dan nilai hormat-menghormati antara pemimpin lama serta baharu.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, budaya UMNO yang sebenar ialah apabila “orang baharu menghormati yang lama, dan orang lama menyayangi orang baharu.”
Jelasnya, inilah asas kepada perpaduan dan kekuatan parti yang perlu dikekalkan serta diperkuatkan.
“Kalau seseorang itu tidak ada akhlak, maka tindakan tegas perlu diambil, sama ada digantung atau dipecat,” katanya, merujuk kepada perlunya disiplin dan etika dalam parti.
Tambahnya, kuasa untuk membuat keputusan berada di tangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), terutamanya ketika luar waktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU), termasuk dalam hal permohonan untuk kembali ke dalam parti.
Dalam nada tegas beliau menekankan UMNO sentiasa bersifat terbuka termasuk kepada yang dipecat atau digantung keahlian namun katanya, yang telah berbuat kesalahan perlu memohon maaf secara terbuka.
“Tawaran telah saya beri, tetapi ditolak. Namun, saya pula dihentam dan diasak. Walau begitu, tindakan UMNO sentiasa dibuat secara kolektif dan tidak pernah bersifat zalim terhadap sesiapa,” ujarnya tanpa menyebut nama sesiapa ketika mengimbas berkaitan pemilihan parti dan menjelangnya pilihan raya yang lalu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Bentong, di sini hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan politik harus berpaksikan landasan agama dan nilai-nilai yang luhur.
Presiden UMNO itu turut mengingatkan bahawa kekuatan kepimpinan parti adalah hasil sokongan akar umbi.
“Kita berada di atas ini kerana ada yang di bawah menyokong kita. Maka, santunilah mereka dengan penuh hormat dan kasih,” katanya.
Beliau turut mengulas berkaitan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Saya lakukan yang terbaik. Saya yakin dengan keluhuran dan kedaulatan undang-undang… dan hati saya tidak pernah silap. Keyakinan saya, Insya-Allah, Datuk Seri Najib akhirnya akan kembali bersama-sama kita,” katanya.
Turut hadir dalam persidangan terbabit, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong Datuk Seri Mohd Zaini Salleh, barisan kepimpinan serta para perwakilan bahagian terbabit. – UMNO Online