UMNO Melaka Berjaya Lahirkan Ramai Pemimpin Pelapis

JASIN, 29 Jun – UMNO Melaka telah berjaya melahirkan pemimpin pelapis sama ada berjawatan dalam parti mahupun sebagai anggota pentadbiran, ujar Pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ujar Ketua Menteri Melaka itu, anak muda yang berkelayakan wajar diberi peluang serta kepercayaan sebagai pemimpin pelapis bagi generasi akan datang dan demi masa hadapan negeri.

Katanya, ini dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, UMNO negeri telah menampilkan ramai anak muda sebagai calon dan menang antaranya seperti Datuk Rais Yasin kini Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput; Dr Muhammad Akmal Saleh ADUN Merlimau dan Exco Kerajaan Negeri; Datuk Fairul Nizam Roslan (Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Asahan); dan Datuk Khaidirah Abu Zahar (ADUN Rim).

“Saya memilih semua 80 peratus tokoh muda untuk duduk sebagai (calon) wakil rakyat. Kerana inilah wajah pemimpin masa depan.

“Saya berusaha untuk menyediakan pelapis kepada parti ini, menyusun atur apabila tiba waktu dan ketika kepimpinan muda di peringkat parti dan wakil rakyat, (mereka) bersedia mengambil alih,” ujarnya yang juga berkata tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hanya tinggal 14 bulan sahaja dari sekarang.

Ab Rauf berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini, hari ini.

Turut hadir Dr Akmal selaku Ketua UMNO Bahagian Jasin, Rais yang juga Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan beberapa Ketua UMNO Bahagian dalam negeri.

Hadir sama bekas pemimpin UMNO bahagian, UMNO Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Dalam majlis tersebut, Ab Rauf turut menyampaikan anugerah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun lalu.

Selanjutnya, Ab Rauf menggesa kepada semua ahli parti agar terus bekerja kuat dan jangan merasa selesa atas kemenangan pada PRN lalu kerana keputusan sebaliknya berlaku ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, UMNO kalah di semua kerusi Parlimen.

Begitu juga, Ab Rauf berpesan kepada hampir seribu perwakilan UMNO Bahagian Jasin agar terus kekal dalam perjuangan dan setia kepada parti.

“Berjuanglah, jangan berpatah dari medan perjuangan. Teruskan perjuangan. Kata orang Melayu makin jauh bahtera meninggalkan pantai, makin kuat dihempas badai. Makin tinggi pohon menjulang, lagi kuat angin menggoncang.

“Jangan berundur jangan berpatah, teruskan perjuangan walaupun layarnya patah, tegakkan semangat terus ke destinasi perjuangan. Saya sentiasa mendokong dan menyokong selagi kita berada di landasan yang betul,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Ab Rauf berkata ia satu inisiatif kerajaan negeri untuk merakyatkan pentadbiran kerajaan.

“Untuk mendampingi rakyat bukan sahaja sehingga ke Kawasan DUN… bukan sahaja di kampung-kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM), tetapi masuk dalam rumah mereka kerana saya merakyatkan pentadbiran ini untuk rakyat dapat rasa, bagaimana wakil rakyat kerja untuk rakyat.

“Rakyat memilih kita untuk prihatin kepada mereka, rakyat pilih kita untuk jadi wakil kepada rakyat, itu sebab Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat ini tiada negeri lain buat,” katanya.

Ab Rauf juga berazam mahu menjadikan negeri itu kembali hebat sebagaimana zaman kegemilangannya dahulu.

Contohnya kata Ab Rauf, Melaka akan menjadi tuan rumah di Persidangan Dunia Pelancongan yang akan diadakan pada hujung bulan September ini. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79