Hasmuni Seru Akar Umbi Berpegang Kepada Asas Perjuangan Parti

PASIR MAS, 29 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Hasmuni Hassan mengajak semua ahli dan akar umbi untuk kembali kepada asas perjuangan parti demi agama, bangsa serta tanah air.

Katanya, UMNO diasaskan bukan untuk kuasa semata-mata, tetapi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Jelasnya, kekuatan sebenar sesebuah parti bukan terletak kepada jumlah keahlian tetapi keupayaan untuk berpadu hati, berani melakukan perubahan, dan terus berpegang kepada nilai perjuangan yang tulen.

“Suasana politik semakin mencabar hari ini… hanya mereka yang berprinsip dan teguh jati diri akan terus relevan. Saya percaya, kita akan betul-betul berjaya sekiranya berpadu hati, berani membuat perubahan dan kekal dengan nilai perjuangan.

“UMNO akan bangkit semula sebagai wadah yang dihormati dan dipercayai. Mari kita berjuang bukan untuk diri sendiri, tetapi kepada generasi akan datang.

“Saya seru kepada semua jentera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri agar menggandakan usaha, menyusun strategi serta turun padang dengan niat memenangkan parti. Jangan kita hanya menjadi pemerhati… tetapi jadilah pelaksana yang aktif dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Mas, semalam.

Ujarnya, ahli parti perlu kembali kepada asas perjuangan politik kerja kerana kemenangan tidak akan datang dengan hanya bersandarkan kepada nama dan sejarah.

Mengulas lanjut, Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu mengingatkan ahli dan akar umbi untuk tidak mengamalkan budaya ‘cah keting’ yang merugikan parti.

“Saya ingatkan dengan tegas, tiada ruang untuk budaya adu domba dan ‘cah keting’ dalam perjuangan kita. Budaya ini hanya merugikan parti dan memecahbelahkan kesatuan yang kita bina selama ini.

“Jangan kerana hal remeh atau kepentingan peribadi, kita merosakkan jentera yang sepatutnya diperkuatkan. Jika ada perbezaan pandangan, selesaikan dengan hikmah dan berlapang dada, bukan dengan fitnah atau sabotaj.

“Jika ada yang menyertai UMNO hanya kerana mahu mengisi tembolok sendiri, maka mereka berada di landasan yang salah. Maruah parti ini perlu dipelihara dan ia hanya boleh dilakukan jika kita kembali kepada perjuangan yang ikhlas,” jelasnya lagi.

Seterusnya, Hasmuni menggesa semua sayap UMNO untuk terus bangkit dengan lebih proaktif dan memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mendekati rakyat.

“Saya mahu lihat semua sayap ini bangkit lebih kuat. Jangan hanya menunggu arahan daripada atasan, tetapi tampil ke depan dengan inisiatif dan program yang menyentuh hati rakyat.

“Wanita, Pemuda dan Puteri adalah sayap… nadi dalam perjuangan parti dan bukannya pelengkap semata-mata. Mereka adalah jantung yang menggerakkan denyut nadi perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79