UMNO Sentiasa Perjuang, Letak Agenda Islam Sebagai Keutamaan – Ahmad Maslan

BACHOK, 29 Jun – UMNO terus komited memperjuangkan agama Islam selaras dengan prinsip yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan parti, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, pindaan dalam perlembagaan parti yang meletakkan perjuangan Islam sebagai keutamaan membuktikan kesungguhan UMNO mempertahankan agama Islam di negara ini.

“UMNO adalah parti yang memperjuangkan Islam dan telah termaktub dalam Perlembagaan parti. Perkara 3.3 sudah dinaikkan menjadi 3.1, membuktikan kita komited meletakkan Islam itu ditempat nombor satu untuk ditegakkan, dipertahankan dan dikembangkan.

“Kita perbaiki dan perhalusi maka diharapkan perkara itu dihadam oleh kepimpinan UMNO apabila berdepan dengan Pas di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang sentiasa mendakwa kononnya mereka lebih Islam daripada UMNO.

“Ia jelas bahawa parti akan terus menyokong perjuangan, cita-cita agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bachok di Dewan Damai RY, Kampung Teratak Pulai, Jelawat, Bachok, di sini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Yusri Che Noh, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim, Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Ahmad Rosdi Mahamad, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan pemimpin UMNO Bahagian empat peringkat.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berharap UMNO Negeri Kelantan berani untuk berhadapan dengan Pas dan tidak merasa rendah diri terutamanya dalam perjuangan Islam.

“Kita jangan defensif apabila berdepan dengan Pas. Hanya UMNO yang sentiasa cakna rakyat dengan membasmi kemiskinan, menjaga kesihatan, pendidikan, prasarana rakyat, memajukan rakyat… dan itu adalah tuntutan agama Islam yang dilaksanakan secara praktikal ketika parti berada dalam kerajaan,” ujarnya.

Persidangan UMNO Bahagian-Bahagian yang berlangsung setiap tahun merupakan antara komponen penting dalam proses demokrasi dalaman dan menjadi asas kepada hala tuju UMNO secara menyeluruh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79