MEXCLUB Setuju Wujudkan Struktur Baharu HLC Pembangunan Desa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Mesyuarat Penyelarasan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) telah bersetuju untuk mewujudkan struktur baharu High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa bagi mengatasi sebarang pertindihan dalam pelaksanaan pembangunan di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu mesyuarat turut bersetuju untuk meneruskan peruntukan sebanyak RM750,000 kepada setiap wakil Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah, pagi ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 1/2025 yang menghimpunkan semua Exco Luar Bandar dari seluruh negara. MEXCLUB berperanan sebagai wadah penting untuk menyelaras dasar, projek, program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama agensi-agensi berkaitan dan Kerajaan Negeri.
“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk meneruskan peruntukan sebanyak RM750,000 kepada setiap wakil Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek infrastruktur asas seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD) dan Program Ameniti Sosial (PAMS). Tahun lalu, 114 projek telah diluluskan, dengan 77 daripadanya telah siap dan selebihnya sedang dalam pelaksanaan.
“Saya juga menyeru agar Kerajaan Negeri mewartakan premis-premis KEMAS di bawah Program Pembangunan Modal Insan Komuniti. Langkah ini penting untuk mengelakkan pertindihan pengurusan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, sekali gus memperkemas penyelenggaraan dan memperluas kapasiti program pendidikan serta latihan komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pindaan Akta Orang Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) kini berada di fasa akhir penyediaan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Mac 2026.
“Sebagai penutup, saya telah merasmikan pelancaran Program Desa Kirana – satu lagi ‘game changer’ baharu untuk memperkukuh ekosistem pelancongan desa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Program ini akan memfokus kepada pemerkasaan komuniti desa melalui pemanfaatan warisan budaya, keindahan alam, makanan tradisi, kraftangan dan aktiviti kampung sebagai satu pakej pelancongan unik. Sasaran kita: peningkatan pendapatan komuniti sebanyak 20% menjelang 2026.
“Insya-Allah, mesyuarat telah bersetuju untuk mewujudkan struktur baharu HLC Pembangunan Desa bagi mengatasi sebarang pertindihan dalam pelaksanaan pembangunan desa. Melalui HLC ini, kelewatan akan ditangani secara lebih berkesan, dan pembangunan desa akan digerakkan dengan pendekatan yang lebih sistematik, telus serta berimpak,” katanya lagi. – UMNO Online