Usul Hishammuddin: Ahmad Zahid Serah Kepada Biro Politik, MT UMNO Buat Keputusan

PETALING JAYA, 26 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Biro Politik dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk membuat keputusan berhubung usul penarikan semula penggantungan keahlian bekas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahmad Zahid berkata MT UMNO boleh membincangkan usul berkenaan meskipun individu terbabit tidak mengemukakan sebarang surat rayuan atau permohonan maaf.

“Lazimnya, semua usul yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian akan dibawa ke jawatankuasa usul untuk diteliti dan semak. Bagi kes usul daripada UMNO Bahagian Sembrong, terdapat kenyataan daripada Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) yang akan membawa perkara ini ke Majlis Tertinggi, maka kita akan tunggu.

“Ini kerana kuasa untuk memecat, menggantung atau menerima kembali seseorang ahli jika tiada Perhimpunan Agung, terletak pada Majlis Tertinggi UMNO selaku badan tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usul yang dibawa UMNO Bahagian Sembrong supaya penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa sebarang tindakan penggantungan keahlian dilaksanakan secara munasabah, dan MT UMNO tidak akan menjatuhkan tindakan tersebut tanpa asas kukuh.

Mesyuarat MT UMNO pada 27 Jan 2023 menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun kerana didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79