Harumkan Nama Negara… Dr Asyraf Kagum Pencapaian Mendunia MRSM Ulul-Albab
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan kesyukuran dengan pencapaian pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul-Albab Felda Trolak yang merangkul anugerah Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republic Czech.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata lebih membanggakan apabila kemenangan tersebut diraih selepas menewaskan pelajar daripada negara-negara lain.
“Mengkagumkan dan membanggakan apabila pelajar-pelajar ini berjaya mengharumkan nama negara dengan kejayaan manis dan bersejarah merangkul anugerah.
“Alhamdulillah, teruskan anak-anak MRSM Ulul-Albab Felda Trolak! Anda semua telah membuktikan bahawa MRSM Ulul-Albab mampu mendunia dengan hebat dan cemerlang sekali.
“Saya cukup berbangga dengan anak-anak semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf dalam pada itu berkongsi kata-kata daripada Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada beliau ketika sama-sama menyaksikan latihan para pelajar tersebut yang disifatkan sebagai mengkagumkan.
“Beliau berkata bagaimana pelajar-pelajar yang bertudung bersaing di pentas antarabangsa setanding dengan negara-negara yang jauh terkehadapan dalam muzik orkestra.
“Ini juga merupakan dakwah,” ujar beliau. – UMNO Online