Seni Budaya Melaka Terus Subur, Pupuk Persefahaman Dan Muafakat – Abdul Razak

MELAKA, 26 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengajak rakyat di sekitar kawasan berkenaan untuk sama-sama memeriahkan Program Merakyatkan Seni Budaya@Komuniti yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Menurut beliau program tersebut yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad nanti memberi peluang kepada seluruh masyarakat yang hadir untuk merasai pengalaman serta melihat lebih dekat pelbagai seni budaya negeri berkenaan.

“Hujung minggu ini jangan lupa singgah ke Kampung Bukit Larang, Telok Mas. Program Merakyatkan Seni Budaya@Komuniti akan berlangsung selama dua hari bermula jam 8.00 pagi sehingg 6.30 petang.

“Antara program yang telah diatur antaranya sukan rakyat, kopi-kopi dondang sayang dan banyak lagi acara serta program lain yang telah disediakan untuk para pengunjung yang hadir.

“Program berkenaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka dengan kerjasama Persatuan Rebana Keras, JAPERUN Telok Mas, JPKK Telok Mas dan Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka serta pelbagai pihak lain,” katanya.

Kata beliau lagi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, inisiatif berkenaan diharap dapat memupuk lagi semangat kebersamaan serta perpaduan antara satu sama lain.

“Sudah pasti ianya juga akan memperlihatkan kebudayaan negeri yang terus disanjung serta terus dipelihara agar seni budaya Melaka terus subur dan dikekalkan sebaiknya,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79