Ahmad Zahid Sertai Istiadat Sambutan Rasmi Presiden Republik Kyrgyz Ke Malaysia
PUTRAJAYA, 25 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi sempena Lawatan Rasmi Presiden Republik Kyrgyz, TYT Sadyr Zhaparov ke Malaysia yang berlangsung di Dataran Perdana Putra.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Presiden Zhaparov ke Malaysia sejak dilantik pada Januari 2021 dan menjadi tanda balas kepada lawatan Perdana Menteri ke Bishkek pada Mei tahun lalu.
Menurut Ahmad Zahid, kehadiran Presiden Kyrgyzstan menunjukkan Malaysia semakin diiktiraf sebagai rakan strategik penting di rantau Asia Tengah.
“Hubungan antara Malaysia dan Republik Kyrgyz terus berkembang, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, pelancongan dan kesihatan. Tahun lalu sahaja, nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM40 juta,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu kepada rakyat dan para usahawan tempatan untuk meneroka pasaran antarabangsa yang strategik.
“Semoga hubungan dua hala ini terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara, Insya-Allah,” ujar beliau.
Pagi tadi, Presiden Zhaparov diberi sambutan rasmi dengan penuh istiadat di Perdana Putra sempena lawatan dua hari beliau ke Malaysia dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan menteri Kerajaan Perpaduan.
Majlis sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai tanda penghormatan diikuti memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada 106 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja. – UMNO Online