Kuatkan Parti… Elak Pergolakan Dalaman, Fokus Pilihan Raya – Dr Asyraf
MACHANG, 28 Jun – Semua parti politik mempunyai sasaran untuk menang besar dalam pilihan raya termasuklah UMNO, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata UMNO harus menguatkan parti, jangan ada pergolakan dalaman, kuatkan saf dan paling penting ialah fokus untuk hadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, UMNO sekarang ini dalam proses rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan parti lain.
“Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) asas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan ia telah dimulakan pada PRN Melaka, Johor serta diperkemaskan pada Pilihan Raya Umum (PRU). Ini kerana ia sangat komprehensif dan seiring dengan perlembagaan parti serta dibaca sekali dengan akta anti lompat parti.
“Semua itu sedang diperhalusi oleh barisan peguam UMNO dan ia menjadi syarat utama untuk calon UMNO/BN. Bagi PRN Sabah, ia akan menggunakan ‘template’ sama dan diperkemaskan lagi berasaskan suasana semasa.
“Buat masa ini draf sedang diperhalusi oleh barisan peguam UMNO yang dipertanggungjawab oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi, Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang, di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan merangkap Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, kepimpinan UMNO Bahagian serta ahli parti.
Mengulas lanjut beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, kerusi yang dimenangi oleh UMNO/BN harus dipertahankan.
“Secara asasnya ada persetujuan secara prinsip. Kerusi yang dimenangi oleh UMNO/BN harus dipertahankan manakala kerusi yang tewas dan berada di kedudukan nombor dua… maka parti itu yang akan bertanding dan terakhir adalah proses rundingan untuk kita.
“Asas itu yang digunakan semasa PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) begitu juga perundingan dengan PH pada PRN Sabah dan serta pada PRU akan datang.
“Sebenarnya UMNO/BN bertanding lebih banyak kerusi berbanding ketika berkerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Sudah tentu PN tidak akan memberikan kerusi-kerusi yang dimenangi. Kerusi-kerusi UMNO/BN tidak bertindih dengan PH dan sebab itulah jumlah kerusi yang akan kita tandingi pada pilihan raya akan datang lebih besar berbanding PRN lepas,” katanya lagi.
Terdahulu Dr Asyraf Wajdi bersama Ahmad Jazlan memberi watikah kepada setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi seluruh Parlimen Machang.
Untuk rekod, persidangan UMNO di peringkat cawangan-cawangan seluruh negara telah berlangsung pada 7 April 2025 sehingga 25 Mei 2025 yang lalu.
Persidangan UMNO peringkat bahagian pula telah bermula pada 9 Jun 2025 dan akan berakhir pada 27 Julai 2025 dan Perhimpunan Agung UMNO bakal berlangsung pada 20 sehingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online