Usaha Berterusan Atasi Banjir: Pembinaan Empangan Durian Tunggal Krubong Dilaksana
MELAKA, 25 Jun – Kerajaan Negeri Melaka terus komited dalam menangani masalah banjir di kawasan Krubong menerusi pembinaan Empangan Durian Tunggal Krubong yang kini sedang dalam proses pelaksanaan.
Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, pembinaan empangan itu merupakan antara ikhtiar utama kerajaan negeri demi kesejahteraan penduduk setempat yang sering terkesan akibat bencana banjir.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memulakan usaha menyiapkan Empangan Durian Tunggal Krubong bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan ini. Inilah antara perjuangan yang saya dambakan untuk rakyat iaitu satu ikhtiar demi kesejahteraan semua.
“Saya berdoa agar projek ini terus berjalan lancar, tanpa gangguan dan tanpa henti – walaupun andai takdir Allah menentukan saya bukan lagi wakil rakyat nanti. Perjuangan untuk rakyat tidak semestinya di atas pentas kuasa, yang penting keikhlasan untuk melihat rakyat hidup lebih selesa dan selamat,” katanya.
Rais juga hadir dalam Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban dengan komitmennya menyantuni rakyat apabila satu inisiatif bantuan pasca banjir dilaksanakan di Kampung Asam Kumbang iaitu antara kawasan paling terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini.
Ujarnya, program WRUR ini merupakan antara pendekatan yang digerakkan bagi menyampaikan bantuan segera kepada rakyat di lapangan selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.
“Pendekatan turun padang dan gotong-royong amat penting dalam menyantuni rakyat yang ditimpa musibah. Isu banjir di Kampung Asam Kumbang sedang dalam perhatian dan penyelesaian jangka panjang sedang diusahakan bersama agensi berkaitan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mengamalkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran, terutama ketika bencana alam melanda.

Sebelum itu, Rais telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Bencana Banjir Peringkat DUN Paya Rumput yang berlangsung di Dewan MBMB Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini.
Ujarnya, majlis terbabit melibatkan penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir susulan kejadian yang berlaku pada November 2024 dan Mac 2025 di beberapa kawasan termasuk Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya, Kampung Lanjut Manis, Krubong dan Kampung Tampoi.
“Seramai 325 penerima telah mendapat bantuan bencana melalui dua inisiatif Kerajaan Madani iaitu bayaran Saguhati Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM1,000 kepada 269 penerima (kelulusan Bil. 1), manakala Bantuan Bencana Kerajaan Negeri Melaka bernilai RM300 kepada kesemua 325 penerima.”
Rais turut merakamkan penghargaan kepada NADMA dan Kerajaan Negeri Melaka atas keprihatinan mereka dalam membantu rakyat yang terkesan.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka dan memberi kelegaan kepada anggota keluarga untuk meneruskan kehidupan,” tambah beliau lagi. – UMNO Online