Slogan ‘Sabah First’ Retorik Lapuk, Tiada Manfaat Untuk Rakyat – Suhaimi

LIBARAN, 25 Jun – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyelar slogan “Sabah First” yang menurutnya hanyalah retorik lapuk yang dikitar semula tanpa membawa manfaat sebenar kepada rakyat.

Beliau menyifatkan slogan tersebut lebih bersifat peribadi dan kosmetik, bukan berasaskan perjuangan tulen untuk membela nasib rakyat Sabah yang masih berhadapan dengan pelbagai tekanan, khususnya dalam aspek ekonomi.

“Bercakap soal ‘Sabah First’, tetapi di mana suara mereka ketika rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang meningkat malah ketika Sabah terus terpinggir dalam pembangunan yang tidak seimbang?” soal Suhaimi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri Sabah yang ada hari ini dibentuk bukan melalui mandat yang jelas, sebaliknya hasil pakatan sementara yang longgar dan tidak mencerminkan kehendak sebenar rakyat negeri terbabit.

Katanya lagi, jika benar prinsip ‘Sabah First’ itu dipegang, maka keutamaan sewajarnya diberi kepada kebajikan rakyat, bukan mengutamakan slogan politik yang kosong.

“Jangan hanya pandai melaungkan slogan sedangkan realitinya rakyat terus dibiarkan tertekan dan terpinggir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suhaimi menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya di Libaran, agar tidak terpengaruh dengan permainan politik yang memperalatkan emosi rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kejujuran, kesetiaan dan keikhlasan adalah nilai utama yang mesti dipertahankan dalam perjuangan parti.

“Tanpa nilai ini, perjuangan kita akan tersasar. Jangan sesekali menjadi pengkhianat atau talam dua muka. Perbuatan itu bukan sahaja merosakkan UMNO, malah mengkhianati harapan rakyat yang bergantung kepada kita,” tegas beliau.

Suhaimi juga mengingatkan semua pihak bahawa perjuangan politik bukan untuk memenuhi kepentingan peribadi, tetapi untuk menjunjung amanah rakyat dan membela nasib negeri secara tuntas dan berprinsip. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79