JKDM Nadi Suara Rakyat Desa, Mendengar Dan Bawa Perubahan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 25 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan menerusi Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI (JKDM) komited dalam menyantuni rakyat desa.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini kerana JKDM merupakan nadi suara rakyat desa yang mendengar, bertindak, mencari jalan dan membawa perubahan.
“Dulu, kepimpinan kampung bermula di tangga rumah kayu, tempat Tok Ketua duduk bersila, berbaju lusuh tetapi berhati mulia. Tiada mikrofon, tiada sidang media, namun kehadiran mereka mampu menyatukan hati dan menyelesaikan sengketa.
“Kini, banyak yang telah berubah, daripada ketukan pintu ke aduan di hujung jari. Tetapi satu yang kekal, iaitu kepimpinan luar bandar tetap tentang menyentuh jiwa dan menyelami suka duka rakyat.
“Melalui JKDM ini, kita mahu pastikan tiada kampung yang terpinggir, tiada suara yang tidak didengari, dan tiada rakyat luar bandar yang ketinggalan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya bersama lebih 1,200 pemimpin akar umbi dari seluruh negeri Sabah dalam Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI 2024.
Beliau dalam pada itu meluahkan penghargaan kepada kesemua ahli JKDM yang memberikan komitmen dalam perkhidmatan diberikan mereka.
Katanya KKDW akan terus menjadi rakan setia rakyat luar bandar untuk bangkit, maju dan berjaya bersama.
“Kehadiran kalian membuktikan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipikul.
“Semoga selamat pulang ke kampung halaman masing-masing, dan pulanglah dengan azam serta tekad yang lebih kuat untuk terus berbakti kepada desa yang membesarkan kita dan masyarakat yang mempercayai kita,” ujar beliau. – UMNO Online