Bekerja Dalam Satu Pasukan, Santuni Denyut Nadi Rakyat – Pandak

ISKANDAR PUTERI, 25 Jun – UMNO Bahagian Iskandar Puteri sentiasa bekerja dalam satu pasukan terutamanya untuk mendengar dan menyantuni denyut nadi rakyat, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Pandak Ahmad.

Jelasnya, seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Iskandar Puteri kini dalam ‘mood’ untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan terdapat pelbagai persiapan telah dilakukan.

“UMNO Iskandar Puteri dalam keadaan yang agak baik dari segi organisasinya. Kita bersama Ketua UMNO Bahagian dan kepimpinan sayap-sayap dalam ‘mood’ PRN ketika ini. Kalau kita lihat keadaan dari segi geopolitiknya, Iskandar Puteri ini agak berbeza dengan bahagian-bahagian lain.

“Iskandar Puteri ini merupakan salah satu kawasan dilihat membangun bersama Kerajaan Negeri melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang berlaku maka kita perlu bersedia dengan apa jua cabaran pada masa akan datang.

“Saya bersama ketua UMNO bahagian mementingkan suara nadi rakyat terutamanya tentang isu kos sara hidup dan keperluan perumahan untuk anak-anak muda termasuk isu kenaikan harga barang. Kami berbincang di peringkat bahagian dan saya bawa isu-isu tersebut ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar berkata, pertambahan pengundi automatik yang berusia 18 tahun menyebabkan mereka perlu bekerja keras untuk menyantuni anak-anak muda.

“Dari segi pengundi memilih… pengundi dalam Parlimen Iskandar Puteri ini hanya ada satu DUN sahaja iaitu Kota Iskandar. Sekarang dah masuk 126,000 pengundi disebabkan undi automatik. Gerak kerja sudah semestinya akan berbeza dari PRN lalu.

“Maknanya kita akan menyantuni anak-anak muda. Ada di antara mereka yang tidak tahu tentang politik maka inilah peranan kita. Kita gerakkan Pergerakan Pemuda, Puteri untuk menyantuni mereka. Kita sebagai wakil rakyat kena layan kehendak mereka. Kita perlu perbaiki cara ‘approach’ kita dengan pengundi-pengundi muda ini.

“Kita tak boleh bergerak macam dulu sebab zaman media sosial sekarang ini, wakil rakyat pun kena menggunakan TikTok, Instagram dan sebagainya. Kemudian, dah sampai ke zaman kecerdasan buatan (AI) pula. Sekarang ini, kita mahu para pemimpin terutamanya di peringkat cawangan dan bahagian memahami tentang AI,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa membela rakyat merupakan tradisi UMNO sejak ia ditubuhkan sehingga kini tanpa mengira kedudukan.

“Tradisi UMNO adalah membela rakyat. Apabila berlakunya bencana… yang akan turun menyantuni rakyat ialah UMNO. Saya rasa kita agak selesa dan kukuh, tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita nak menjelaskan kepada rakyat tentang Kerajaan Perpaduan ini.

“Di Johor kita masih kekal bersama BN. Kita di peringkat bahagian akan mengikut Perhubungan UMNO Negeri. Sekiranya Menteri Besar memikirkan perlu ada gabungan (hadapi PRN), kita akan bersiap sedia. Pertama, dari segi penjelasan kepada rakyat kenapa kita bergabung. Sekarang ini kita masih solo dan kuat kerana ada 40 kerusi yang kita menang. Saya rasa, perkara gabungan itu nombor dua.

“Apa yang penting, kita berikan servis terbaik kepada rakyat. Rakyat nak tengok apa yang kita buat, bukan apabila pegang jawatan… rakyat macam tiada ‘ibu dan bapa’. Jadi, kita pimpinan UMNO ini merupakan ‘ibu dan bapa’ kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79