Pentingnya Peranan Wanita Dalam UMNO, Berjuang Demi Nasib Orang Melayu
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan betapa pentingnya peranan wanita yang dimainkan dalam sesebuah parti.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ini termasuk khidmat bakti diberikan oleh wanita dalam UMNO.
“Setiap jerih perih mereka di dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu, agama Islam dan tanahair Malaysia perlu diiktiraf sebaris dengan kepimpinan parti yang lain.
“Dunia juga telah menyaksikan kehebatan pemimpin-pemimpin wanita yang tidak boleh dinafikan peranan dan penglibatannya serta impak yang diberi kepada masyarakat dan rakyat, antaranya Margaret Thatcher, Indira Ghandi, Hillary Clinton, Benazir Bhuto, Aung San Suu Kyi, Theresa May, Halimah Yacob, Oprah Winfrey dan lain-lain lagi,” katanya.
Noraini berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jerantut yang diadakan kelmarin.
Beliau dalam pada itu turut sama menyampaikan anugerah buat tokoh-tokoh pemimpin Wanita UMNO Bahagian Jerantut termasuk buat Datuk Nazilah Abd Latif, mantan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norsarfinaz Mohd Azman dan seluruh barisan kepimpinan di atas komitmen dan kejayaan mengadakan mesyuarat bagi tahun ini,” ujar beliau.
Sementara itu Noraini turut sama hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh yang diadakan di Dewan Nafas Function Hall, Petaling Jaya.
Dalam ucapan beliau berkongsi pandangan tentang peranan Wanita UMNO sebagai tulang belakang dalam menentukan kekuatan dan menggerakkan parti bersama dua lagi sayap iaitu Pemuda dan Puteri.
“Sebagai jentera paling hadapan dalam menentukan kekuatan UMNO, Wanita perlu berganding bahu untuk memperkasakan Jalinan Rakyat (JR) yang merupakan senjata UMNO yang paling kuat dalam memperkasakan parti,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, kepimpinan Datuk Halimaton Saadiah Bohan dan seluruh barisan di atas komitmen dan kejayaan mengadakan mesyuarat bagi tahun ini. – UMNO Online