Jadikan Politik Sebagai Ibadah: Gunakan Ruang Untuk Bantu Rakyat – Mohd Rafi
LABUAN, 24 Jun – Prinsip “Jadikan Politik Sebagai Satu Ibadah” bukan sekadar ungkapan, tetapi dibuktikan melalui tindakan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dalam membantu rakyat yang memerlukan.
Dalam satu majlis penyerahan rumah Program Perumahan Rakyat Sementara (PPRS) kepada Puan Mariani di Kampung Lajau semalam, Mohd Rafi menzahirkan rasa syukur apabila perjuangan kecilnya untuk membela nasib seorang wanita daif akhirnya membuahkan hasil.
“Saya masih ingat lawatan saya ke rumah Puan Mariani tahun lalu. Keadaannya amat menyentuh hati. Saya bertekad waktu itu, walau suara ini kecil, saya mesti cuba membantu,” katanya.
Jelas beliau, usaha beliau mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang setelah melihat keadaan Mariani melalui satu video TikTok yang tular.
“YAB Datuk Seri Ahmad Zahid segera menghubungi saya secara peribadi dan meluluskan peruntukan pembinaan rumah PPRS bernilai RM86,000,” maklumnya.
Jelas beliau, rumah tersebut siap dibina oleh GiatMARA Labuan selaku agensi pelaksana, dan telah diserahkan secara rasmi kepada Mariani dalam satu majlis penuh sederhana tetapi bermakna, yang turut disertai dengan kenduri doa selamat memasuki rumah baharu.
“Saya pesan kepada Puan Mariani, syukurilah nikmat ini dan hargailah keprihatinan Kerajaan Madani, terutamanya jasa besar YAB Datuk Seri Zahid Hamidi yang amat dekat dengan denyut nadi rakyat,” katanya lagi.
Menurut beliau, inilah wajah sebenar politik yang ingin dibawa iaitu politik yang memberi makna dan harapan kepada rakyat.
“Gunakan setiap ruang yang ada, sekecil mana pun, untuk memberi perubahan dalam kehidupan orang lain. Itulah politik yang bernilai. Itulah ibadah,” tambahnya lagi. – UMNO Online