UMNO Dulu, Kini, Selamanya Memayungi Orang-Orang Melayu – Haslinda

MERSING, 25 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh menegaskan bahawa UMNO sentiasa menjadi ‘payung besar’ dan memayungi orang-orang Melayu dalam apa jua keadaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang turut mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan Sekreatariat Orang Melayu dengan tujuan kononnya untuk menyatukan bangsa.

“Sebenarnya UMNO ini dulu, kini dan selamanya sejak ditubuhkan telah pun menjadi ‘payung besar’, memayungi orang-orang Melayu di Tanah Melayu bahkan di Malaysia.

“Jadi, apa perlunya sekarang baru nak diadakan (payung besar) kononnya untuk menyatukan semua orang Melayu? Sebenarnya kalaulah tidak ada parti-parti baharu yang ditubuhkan menjadi serpihan UMNO, kita ini kuat dan bersatu padu,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, UMNO tidak pernah jemu menjaga orang Melayu dengan memberikan bantuan dan prihatin dengan masalah rakyat meskipun ketika tidak berkuasa.

“Kita daripada dulu, kini dan selamanya… UMNO ini ‘payung besar’ sebenar. Memayungi, membantu dan prihatin dengan segala permasalahan rakyat… kalau tidak kita, siapa lagi?

“Pada saya, tidak perlulah main politik dengan orang UMNO ini sebab kami yakin bahawasanya dengan apa cara sekalipun, asalkan kami dapat membantu rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa Wanita UMNO di setiap bahagian telah bersedia untuk melaksanakan persidangan mereka dalam usaha bagi melihat parti terus ke hadapan.

“Saya percaya Wanita UMNO Bahagian di setiap bahagian sudah bersedia untuk mengadakan mesyuarat perwakilan. Kita tahu, ini merupakan minggu kedua mesyuarat perwakilan di setiap bahagian.

“Mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian ini memang setiap tahun diadakan dan sebelum ia berlangsung, telah diadakan persidangan tahunan Wanita UMNO di cawangan-cawangan.

“Kalau kita lihat kepada perkembangan daripada dahulu sehingga kini, tidak ada pengurangan walau sedikit pun ahli-ahli Wanita yang datang ke persidangan cawangan ataupun ke mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian. Mereka ini adalah ahli parti yang setia, ingin melihat parti kita terus ke hadapan dan relevan di mata rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79