UMNO Lahad Datu Terus Prihatin, Rakyat Perlukan Pembelaan Menyeluruh
LAHAD DATU, 23 Jun – Rakyat di Kampung Tampenau, Silam terus menyuarakan harapan dan keperluan mendesak agar kehidupan mereka diberi perhatian sewajarnya lantaran masih dihimpit dengan pelbagai masalah asas iaitu air bersih, jalan yang rosak teruk dan bekalan elektrik yang tidak stabil.
Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyuarakan keprihatinan dan simpati terhadap nasib masyarakat di sini yang masih bergelut dengan pelbagai cabaran asas kehidupan malah mereka menaruh harapan kepada UMNO untuk menjadi pembela dan suara kepada rakyat secara menyeluruh.
Beliau bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tampenau yang diketuai Dolusin B. Gambis telah menyampaikan bantuan kepada para pemohon di kampung tersebut.
“Alhamdulillah! Kami amat terharu melihat wajah para penerima bantuan yang tetap tersenyum meskipun jelas kelelahan dan keperitan hidup terpancar pada raut mereka. Senyuman mereka menjadi pengubat penat kami.
“Penduduk menyuarakan rasa kecewa terhadap perbandingan antara parti-parti yang pernah memerintah Sabah. Apa yang jelas, hanya ketika Barisan Nasional memerintah dahulu, kampung ini benar-benar dibela. Jalan-jalan utama dibina ketika itu, tetapi selepas 2018, tiada lagi penyambungan atau penyelenggaraan yang dilakukan,” ujarnya kepada UMNO Online.
Sharif Musa turut menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi telah membuktikan melalui tindakan sebagaimana jalan-jalan utama di Kampung Tampenau yang dibina ketika pemerintahan BN menjadi saksi kepada kesungguhan tersebut.
“Kini, dengan keadaan jalan yang semakin rosak dan tiada perhatian daripada kerajaan semasa, maka harapan rakyat kembali disandarkan kepada UMNO. Meskipun sudah lebih lima tahun berlalu sejak kejatuhan kerajaan BN pada 2018, namun rakyat masih dambakan keprihatinan BN sebagaimana suatu ketika lalu.”
Beliau berkata, permohonan dan aduan kepada kepimpinan UMNO kini datang bertali arus daripada rakyat pelbagai lapisan umur, peringkat dan latar belakang.
“Rakyat tidak meminta sesuatu yang mewah, sebaliknya mereka mahukan keselesaan asas, kehidupan yang aman dan sejahtera untuk keluarga masing-masing.
“Justeru, UMNO perlu terus menjadi pembela. Rakyat tidak lagi mampu menanggung penderitaan dan kecuaian yang berpanjangan. Mereka mengharapkan UMNO menjadi landasan harapan untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.”
Sharif Musa menegaskan komitmen UMNO Lahad Datu untuk terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta berusaha sedaya upaya menyuarakan keperluan mereka di peringkat tertinggi parti dan kerajaan. – UMNO Online