Isu Rasuah Sabah: Tindakan Tepat, Semua Pihak Dalam Video Wajar Didakwa – Mohammad Azmi
KOTA KINABALU, 23 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Hussin menyambut baik tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat serta mendakwa semua pihak yang terlibat dalam skandal rasuah di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa prinsip keadilan tidak seharusnya bersifat terpilih, dan sesiapa sahaja yang terbabit – sama ada pemberi atau penerima rasuah – wajib bertanggungjawab di sisi undang-undang.
“Tindakan SPRM adalah tepat. Jika seorang pemberi maklumat (whistleblower) mempunyai locus standi, maka semua individu yang terlibat dalam video tular rasuah juga mempunyai locus standi untuk disiasat dan didakwa,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Mohammad Azmi turut menekankan bahawa integriti dan tata kelola pentadbiran awam mengkehendaki kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima, diadili secara adil kerana kedua-duanya telah mengkhianati amanah rakyat.
“Jika ada asas perundangan untuk mendakwa pemberi maklumat tersebut, ini membawa kepada satu kesimpulan penting bahawa video-video yang tular sebelum ini adalah sah dan tulen. Maka, semua individu yang terlibat dalam rakaman itu mesti dipertanggungjawabkan, bukan hanya dua atau tiga orang sahaja,” katanya lagi.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap pendedahan berterusan yang melibatkan pemimpin politik negeri, dan menggesa agar isu ini tidak dianggap remeh mahupun dijadikan bahan propaganda semata-mata.
“Rasuah adalah penyakit sistemik yang menghancurkan kepercayaan awam terhadap institusi kerajaan. Lebih memalukan apabila ia berlaku dalam kalangan wakil rakyat yang sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada maruah demokrasi,” tegasnya.
Justeru, beliau menyeru agar SPRM kekal konsisten, berani dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.
“Jangan ada satu pun yang terselamat hanya kerana memiliki jawatan atau pengaruh tertentu. Dalam negara hukum, tiada siapa yang kebal. Jika rakyat biasa boleh didakwa kerana rasuah, maka lebih-lebih lagilah seorang ADUN yang muncul dalam video menerima wang tidak wajar dibiarkan bebas atas alasan politik,” katanya lagi. – UMNO Online