UMNO Sabah Gesa Pemimpin Negeri Henti Main Sentimen, Fokus Bekerja

PUTATAN, 23 Jun – UMNO Sabah menggesa semua pemimpin negeri agar berhenti menabur keraguan terhadap Kerajaan Persekutuan dan sebaliknya mula memberi fokus sepenuhnya kepada usaha membantu rakyat yang kini berdepan tekanan ekonomi menjelang pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Julai ini.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, kenyataan Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang menuduh Kerajaan Persekutuan mahu menguasai Sabah bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada kegagalannya sendiri sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri.

“Rakyat sedang menunggu penyelesaian terhadap isu sektor makanan, bantuan kepada peladang, nelayan dan penternak serta inisiatif menangani kos sara hidup. Namun menteri lebih sibuk membina persepsi murahan melalui pidato politik,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Jeffery Nor turut mempersoalkan ketiadaan dasar konkrit untuk menangani isu asas rakyat dalam sektor pertanian dan perikanan serta menegaskan bahawa rakyat hari ini semakin bijak menilai prestasi pemimpin.

“Zaman memperalatkan emosi kenegerian untuk menutup kelemahan sudah berlalu. Sejak bila menyalurkan subsidi dan membina infrastruktur untuk rakyat dikatakan sebagai penjajahan?” tegasnya.

Menurut beliau, UMNO Sabah konsisten menyokong usaha yang membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri, namun menolak retorik politik yang tidak membina.

“UMNO Sabah menggesa semua pemimpin negeri untuk berhenti menabur keraguan. Rakyat mahu tindakan, bukan kenyataan politik yang lapuk. Masa untuk bekerja, bukan berpolitik,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79