UMNO Kekal Teguh Bawa Agenda Orang Melayu, Tak Perlu Payung Besar

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 – UMNO kekal teguh memainkan peranan membawa agenda membela bangsa Melayu, tegas Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata ini kerana penubuhan sekretariat orang Melayu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kononnya untuk menyatukan orang Melayu tidak relevan kepada UMNO.

“Namun hari ini, saya ingin tegaskan bahawa UMNO tidak  memerlukan payung besar atau tawaran daripada mana-mana pihak luar.

“Ini kerana kami di dalam UMNO sentiasa berjuang dalam satu ikatan yang kukuh dan berpadu, di bawah pimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bibi Sharliza dalam pada itu berkata UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dengan dukungan akar umbi serta keanggotaan parti Melayu yang terbesar.

“Pada hemat saya, UMNO tidak memerlukan parti lain untuk mengukuhkan perpaduan Melayu.

“Kerana apabila kita kukuh sebagai keluarga besar UMNO termasuk yang pernah menjauh akan kembali kepada kita itu jauh lebih penting,” ujar beliau.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir dalam satu sidang media pada beberapa minggu lalu mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung melalui Sekretariat Orang Melayu dengan dakwaan kononnya untuk mengembalikan kuasa Melayu.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79