UMNO Terus Kukuh Perjuang Hak Melayu-Islam – Mohammad Khairi
ISKANDAR PUTERI, 23 Jun – UMNO terus menjunjung prinsip dan agendanya untuk memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam walaupun membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A Malik berkata, seluruh pemimpin dan jentera sentiasa giat memberikan penerangan kepada akar umbi mengenai kerjasama telah dibentuk untuk menangkis naratif UMDap yang dimainkan oleh pihak pembangkang.
“Sebenarnya isu UMDap ini dimainkan oleh pihak pembangkang. Di peringkat UMNO Bahagian Iskandar Puteri, kita sentiasa memberikan penerangan bahawa kita bukan bersama Dap secara langsung… tetapi bersama PH untuk membentuk kerajaan atas cadangan Yang di-Pertuan Agong.
“Rasanya isu UMDap ini lama-kelamaan akan menjadi lapuk kerana kita sentiasa mengingatkan ahli dan akar umbi bahawa walaupun bersama PH, kita terus mempertahankan serta memperjuangkan hak-hak orang Melayu, mempertahankan agama Islam.
“Insya-Allah, ini akan jadi teras kepada UMNO pada masa akan datang walau dengan parti mana pun kita rangka Kerjasama untuk membentuk kerajaan. Insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila Wanita UMNO Bahagian Iskandar Puteri telah berjaya menjalankan mesyuarat agung tahunan mereka pada Sabtu.
“Saya selaku Ketua UMNO Bahagian berasa bersyukur kerana tulang belakang kita, Wanita UMNO telah berkaya menjalankan mesyuarat agung tahunannya. Ini merupakan satu perkara yang kita sambut baik kerana UMNO sentiasa mengambil kekuatan Wanitanya untuk terus kukuh.
“Di samping itu, Wanita ini juga menjadi asbab kepada penyatuan dan memastikan kita sentiasa berada dalam landasan baik untuk memperjuangkan UMNO di mata rakyat dan orang-orang Melayu di mana-mana sekali pun,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa musim Mesyuarat UMNO Bahagian-bahagian ini merupakan sebuah platform untuk menyubur dan menguatkan parti agar segala khidmat bakti kepada rakyat dapat diteruskan.
“Kepada semua perwakilan, teruskan mesyuarat-mesyuarat perwakilan di bahagian masing-masing kerana ini merupakan tanggungjawab dan asas sesebuah organisasi. Apabila kita mengadakan mesyuarat agung ini, ia melambangkan UMNO terus berada dalam organisasi yang sah.
“Sudah semestinya ia akan dapat terus menyubur dan memperkuatkan parti keramat UMNO di negara kita. UMNO kena kuat sebab kitalah yang sering turun padang membantu rakyat. Bukan sahaja orang Melayu, bahkan semua kaum. UMNO tetap berada di setiap pelusuk dalam apa jua keadaan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman