Proaktif Tangkis Tohmahan, Pahang Terbukti Berjaya Di Bawah Kepimpinan Wan Rosdy

PEKAN, 26 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad menggesa ahli-ahli parti supaya lebih proaktif dalam menangkis segala tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan, khususnya menerusi media sosial.

Menurutnya, ahli parti tidak boleh sekadar berdiam diri terhadap propaganda yang dimainkan oleh parti lawan seperti Pas.

“Biarlah pihak Pas dengan propaganda mereka, mana-mana parti pembangkang akan melakukan apa saja, ‘we cannot stop them’… tapi kita ahli-ahli UMNO harus mempertingkatkan usaha kita.

“Sekiranya ada perkara-perkara yang tidak jelas dan tidak betul di dalam media massa dan juga media sosial, ahli parti harus perlu ambil inisiatif untuk memperbetulkan tohmahan mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Ahmad Rahimi, sudah terbukti Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah berjaya membawa Pahang sebagai satu negeri berpendapatan tinggi sejak beberapa tahun lalu dengan menjana pendapatan negeri melebihi RM1 bilion hasil kebijaksanaan pelbagai pendekatan ekonomi dan sebagainya.

“Pahang kini telah keluar dari kelompok yang berpendapatan rendah dan setanding dengan negeri Selangor dan Johor contohnya terutamanya dari segi pendapatan dan kemasukan pelabur asing.

“Dari segi perbandingan negeri-negeri yang di bawah Pas mereka tidak menunjukkan pendapatan yang tinggi malah masih bertarung dengan masalah kemudahan asas seperti bekalan air bersih. Ia jauh berbeza dengan kita di Pahang.

“Apa pun kita tidak boleh menidakkan usaha mereka yang berhasrat untuk teraju Pahang. Mereka akan berusaha untuk mencapai hasrat mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut Ahmad Rahimi juga menegur segelintir pihak dalam parti khasnya yang lebih mengutamakan agenda politik dalaman berbanding usaha menyakinkan rakyat akan kejayaan UMNO selama ini serta menguatkan parti.

“Apa yang berlaku di sesetengah tempat, politik dalaman lebih penting berbanding menjalani tugas mendekati masyarakat khasnya kelompok pengundi muda. Pemimpin juga harus menegur pengikut mereka jangan sampai kita bercakaran sesama sendiri.

“Kita jangan terlalu selesa dan yakin dengan sedikit kuasa yang ada pada ketika ini. Ahli UMNO harus meyakinkan rakyat bahawa parti ini telah terbukti sebagai wadah yang berjaya. Akar umbi UMNO dan juga penyokong Barisan Nasional (BN) harus bersatu hati, berkerjasama dan melaksanakan tugas masing-masing.

“Kadang-kadang kita melakukan kerja ‘counter productive’ serta mengikuti malah menyebarkan perkara yang tidak betul, dan ia perlu dihentikan,” tegas beliau lagi.

Selanjutnya, Ahmad Rahimi yakin Wan Rosdy bersama pemimpin-pemimpin UMNO bahagian di negeri itu akan mempertingkatkan usaha untuk merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kalah serta mengekalkan kawasan yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

“Saya yakin Pengerusi UMNO Pahang sudah mengenal pasti DUN-DUN yang kalah pada pilihan raya lalu untuk dirampas kembali serta mempertingkatkan usaha serta mempertahankan kawasan-kawasan yang kekal setia kepada parti dan menguatkan UMNO pada PRU ke-16,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79