Dinamika Pemikiran Anak Muda Penentu Masa Depan UMNO

GERIK, 23 Jun – UMNO perlu menerima hakikat generasi muda kini tidak lagi boleh dibuai dengan nostalgia mengenai jasa parti dalam memerdekakan seterusnya membina, membangunkan dan memajukan negara.

Ujar Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dinamika pemikiran anak muda yang mendapat nikmat kemajuan dan pendidikan secukupnya serta semakin kritis menjadi penentu kelangsungan masa depan parti.

“Mereka ini nak melihat bukan sahaja UMNO tetapi semua parti politik bahawa pemimpin-pemimpin yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat atau pemimpin negara tak kira sebagai pembangkang atau kerajaan, mereka mahu pemimpin-pemimpin yang berwibawa, mempunyai prinsip, boleh dipercayai, berani mengambil pendirian kalau ada sesuatu yang tidak betul.

“Mereka nak pemimpin yang berani mengambil risiko dalam perjuangan. Mereka juga ingin pemimpin yang mempunyai kekuatan membangunkan konsep silaturahim di antara rakyat dan rakyat. Ini sebenarnya yang mereka hendak lihat pada masa akan datang,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gerik empat peringkat di Dewan Sivik Gerik, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Ariff Abdul Majid, Ahli Dewan Negara Datuk Azhar Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim.

Tambah Johari, UMNO perlu terus menyantuni golongan muda bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

“PRU-16 akan datang mereka yang akan mengundi termasuk yang automatik, yang ada di universiti dan habis belajar, dan yang telah membina keluarga mereka.

“Mereka ini dijangkakan akan menyumbang hampir 40 peratus orang-orang muda,” katanya.

Dalam ucapannya, Johari juga menggesa setiap UMNO bahagian perlu membentuk pasukan yang mantap bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun untuk menghadapi PRU-16.

“Dalam politik bila nak berlawan atau bertanding mesti ada menang dan kalah. Seperti main bola sepak pasukan ‘A’ dengan ‘B’, akan hasilkan keputusan ada yang menang dan kalah. Jika seri mesti ada tendangan penalti.

“Bila kalah, kita mesti susun semula pasukan kita untuk menang. Jika tidak ada pasukan pasti keputusan sama akan kalah. Tiada penyerang, pemain tengah dan pertahanan, penjaga gol… atau jika semua ada tetapi semua nak jaringkan gol… mana boleh menang,” katanya.

Selain di Gerik, hari ini Johari turut merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar.- UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79