Pemuda Dan Puteri UMNO Diseru Perkasa Peranan Dekati Anak Muda Melalui TVET

PEKAN, 24 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad menyeru Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO untuk berkerjasama dalam usaha mendekati dan mendapat sokongan anak muda.

Beliau menyarankan agar Puteri UMNO khasnya menjadi pelopor untuk mempromosi program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menjadikan ia sebagai satu indikator kepada komitmen sayap untuk mendekati serta membantu rakyat.

Jelasnya, peranan Puteri UMNO harus berkembang seiring dengan cabaran semasa serta memberi impak yang lebih besar pada masyarakat khususnya anak muda.

“Puteri UMNO harus keluar dari kepompong biasa, bergerak lebih jauh ke dalam masyarakat dan mengambil peluang mempromosikan program TVET bersama institusi yang melaksanakannya. Majlis TVET Negara, yang dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sentiasa terbuka untuk memberi panduan dan sokongan dalam mengadakan prorgram ini.

“Puteri UMNO bukannya sekadar melengkapkan anggota bahagian ataupun mengadakan program-program biasa tetapi harus keluar dari kepompong sendiri bagi memberi impak yang lebih besar pada masyarakat khususnya anak muda. Rakyat akan melihat program yang diadakan oleh Puteri, sama ada bersama kolej komuniti, pihak MARA dan sebagainya.

“Golongan muda memerlukan pekerjaan dan kemahiran. Sekiranya membiarkan golongan muda ini tanpa mengambil peranan dalam masyarakat, ini amat merugikan… maka Pemuda dan Puteri UMNO harus lebih memahami dengan lebih jauh lagi apa TVET itu sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis mesyuarat perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan di Dewan Kelab Golf di Raja, Pekan, pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang, Nurul Aslina Saman; Ketua Puteri UMNO Pekan merangkap Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norshaidatul Akhmar Sharudin serta perwakilan bahagian.

Ujarnya, ia memerlukan satu inisiatif serta usaha Puteri UMNO untuk memahami kepentingan dan kebaikan program ini terutamanya golongan muda.

Tambah beliau, pogram TVET ini boleh memberi impak yang besar pada anak muda.

“Ramai anak muda yang mengikuti program TVET telah diberi peluang melanjut pelajaran sebagai contohnya ke negara China bagi memperluaskan ilmunya selama setahun di sana, ianya boleh menjana pendapatan cukup lumayan. Inilah peluang-peluang yang ada didepan mata dan perlu diambil oleh anak-anak muda khasnya Puteri dan Pemuda UMNO,” katanya lagi.

Pada masa sama, Rahimi menasihati agar Pemuda dan Puteri UMNO Pekan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

“Bagi ahli jawatankuasa Pemuda dan Puteri UMNO Pekan perlu diberikan tanggungjawab dan dibantu dengan cawangan-cawangan untuk mengenal pasti pengundi muda yang melaksanakan program-program bersesuaian. Kadang jawatankuasa bahagian lantikan bawah umur 30-an itu tidak dapat berfungsi dengan baik. Kita perlu ada sedikit rombakan bagi memperbetulkan keadaan ini.

“Sepatutnya mereka bekerjasama dengan Puteri dan Pemuda. Sekiranya bekerjasama, pasti mudah ditangani serta meningkatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan(NGO) tempatan dan beliau menyarankan agar kerjasama ini bukan hanya di Pekan malah juga bahagian-bahagian lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79