Dekati Anak Muda… Mohd Hairi Seru Pemuda UMNO Guna Gaya Kempen Baharu
KLUANG, 23 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO diseru untuk menggunakan gaya dan kaedah kempen baharu dalam usaha menarik sokongan anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Md Shah berkata, beliau turut menyeru Pergerakan Pemuda UMNO untuk merapatkan saf dan bergerak dalam satu pasukan bagi menjalankan segala gerak kerja.
“Alhamdulilah selesainya perasmian mesyuarat untuk Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang yang kita lihat ramai anak-anak muda, bakal pemimpin masa depan hadir. Saya tekankan agar mereka perlu bergerak mengikut kaedah yang lebih baharu berbanding cara lama.
“Jadi, saya juga minta agar kita semua rapatkan saf kembali dengan kekuatan UMNO… bergerak dan bekerja dalam satu pasukan. Pastinya apabila kita bergerak dalam satu pasukan, ianya akan mencetuskan satu keputusan yang baik, Insya-Allah.
“Selain itu, juga saya menyeru Pemuda UMNO yang ada pada hari ini untuk mendekati denyut nadi rakyat di luar sana. Kita adalah sebahagian daripada kerajaan maka janganlah terlalu selesa dan berpeluk tubuh kerana rakyat di luar mendambakan serta mendahagakan khidmat bakti daripada UMNO itu sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui sejurus selepas majlis Perasmian Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang pada Jumaat.
Menurutnya, kekuatan dan kestabilan politik bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi perlu dipertahankan agar ia dapat diteruskan bagi memberi manfaat kepada rakyat.
“Seperti yang saya katakan tadi, kita jangan terlalu selesa. Pengumuman Menteri Besar bahawa sebanyak RM30.1 bilion pelaburan langsung asing (FDI) masuk ke Negeri Johor sebenarnya menunjukkan kekuatan dan kestabilan politik di Negeri Johor.
“Justeru, kita selaku generasi muda harus meneruskan legasi ini. Saya mengajak barisan Pemuda UMNO untuk bersama-sama mempertahankan kekuatan dan kubu kuat kita, UMNO/Barisan Nasional (BN) di Negeri Johor agar ia menjadi satu indikator kepada negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti,” katanya.
Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa Pemuda UMNO kini giat bergerak aktif di media sosial terutamanya dalam menangkis segala fitnah dan tohmahan yang cuba dimainkan oleh pihak lawan.
“Saya lihat ramai di kalangan Pemuda UMNO yang bergerak aktif di media sosial. Itulah pendekatan baharu hari ini berbanding kalau kita nak mengajak mereka untuk turun padang. Ketuk rumah untuk memberi bantuan itu memang ada, tetapi hanya segelintir.
“Tetapi, hari ini ramai yang cuba menyesatkan dan memesongkan apa sahaja naratif dibawa oleh kerajaan. Tetapi anak muda yang berada dalam UMNO terutamanya Pemuda menjadi ‘keyboard warior’ untuk mempertahankan kepimpinan dan parti ini sendiri.
“Terakhir, kepada seluruh kepimpinan Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri ataupun bahagian, saya ucapkan selamat bersidang. Bawalah intipati dan naratif yang baik kepada kepimpinan di atas kerana suara di akar umbi perlu didengari di peringkat atasan. Kita harus ingat, ‘from bottom to up’… bukan ‘up to bottom’. Itu nasihat saya,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman