Payung Kita Jauh Lebih Besar… Praktikal, Berkesan Bantu Bumiputera – Ahmad Maslan

TEBRAU, 22 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan bahawa ‘payung’ Kerajaan Madani jauh lebih besar dari Payung Orang Melayu yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, penubuhan Sekretariat Orang Melayu itu merupakan taktik Tun Dr Mahathir untuk mengekalkan sokongan terhadapnya dengan menggunakan sentimen perkauman.

“Itu payung politik sahaja, bukan payung untuk membantu orang Melayu. Pada pandangan saya, Kongres Ekonomi Bumiputra yang kita adakan di bawah Kerajaan Madani ini jauh lebih praktikal. Kita melakukan pelbagai program, aktiviti dan dasar yang berkaitan dengannya.

“Sekretariat penubuhan payung Melayu beliau itu jelas merupakan taktik Dr Mahathir untuk mengekalkan sokongan kepada beliau bersama kumpulannya. Beliau kata kononnya payung besar. Pada saya, payung kita alhamdulillah lagi besar dengan 18 buah parti.

“Bukan hanya 18 parti, terdapat begitu banyak agensi terlibat. Jadi payung kita ini jauh lebih besar, baik daripada mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kerajaan telah menyalurkan komitmen yang jitu untuk memastikan golongan bumiputera dibantu sebaiknya dengan pelbagai dasar dan inisiatif.

“Jadi usaha yang kita buat ini iaitu Kongres Ekonomi Bumiputera yang berumur setahun ini… tempoh hari, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan satu pertemuan yang agak besar sempena setahun Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah dilancarkan. Saya pada peringkat awal ada terlibat dan saya tahu bahawa komitmen kerajaan cukup jitu untuk memastikan bumiputera terus dibantu.

“Kita tidak menggunakan nama Melayu tetapi bumiputera. Di Malaysia ini ada 70.1 peratus kaum bumiputera diikuti Cina 22.6 peratus dan India 6.6 peratus, lain-lain 0.7 peratus. Dalam 70.1 peratus bumiputera itu ada kaum Melayu. Kita turut menumpukan kepada bumiputera Sabah dan Sarawak, yang juga bumiputera.

“Oleh itu, saya katakan bahawa payung kita jauh lebih besar cakupannya dengan dokongan 18 parti, pelbagai agensi dan juga kementerian. Saya kira itu lebih praktikal dan berkesan dalam membantu bumiputera di negara ini,” katanya lagi.

Pada 4 Jun media melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.

Menurut beliau, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.

Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.

Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekaligus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79