Wanita Mesti Perkukuh Gerak Kerja Hadapi PRN, PRU ke-16 – Malatimah
MERSING, 21 Jun – Wanita UMNO perlu memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang bakal tiba tidak lama lagi, kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Mersing, Malatimah Bandi.
Jelasnya, cabaran yang kini dihadapi oleh parti menuntut semua jentera terutamanya Wanita UMNO untuk menggerakkan kempen secara menyeluruh bersama bahagian dan negeri.
“UMNO hari ini bukan berada di dalam zon selesa. Cabaran mendatang menuntut kita bukan sahaja setia tetapi bijak, tangkas dan strategik. Kita mesti kukuh dalam gerak kerja, bersatu dalam misi dan yakin dalam setiap langkah.
“Gerak kerja kita tidak boleh berasingan. Wanita perlu berada seiring dan sejalan bersama jentera bahagian termasuk negeri menyusun langkah secara bersama serta menggerakkan kempen secara menyeluruh untuk menghadapi PRN dan PRU ke-16.
“Lebih penting lagi anak-anak muda mesti bersama kita. Kita perlu memastikan pengundi muda dan generasi itu sendiri yang cepat berubah sikap diberikan kefahaman bahawa UMNO bukan sekadar parti politik tetapi warisan perjuangan bangsa. Kita mesti mendekati mereka dengan pendekatan yang segar, ikhlas dan berwarna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena majlis Perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Mersing, di sini, Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa anak-anak muda perlu diyakinkan seteguhnya mengenai peranan UMNO sebagai platform paling paling stabil untuk memperjuangkan rakyat dan membina masa depan negara.
“Anak muda bukan pembantu cawangan tetapi pewaris kepada keberanian. Mereka mesti diyakinkan bahawa parti keramat UMNO ini adalah platform paling stabil untuk memperjuangkan rakyat, membina masa depan yang sejahtera dan mempertahankan orang Melayu di negara ini.
“Perjuangan kita tak pernah selesai. Ia bukan perjuangan untuk jawatan atau pengaruh. Ia adalah amanah kepada agama, bangsa dan tanah air. Wanita UMNO bukanlah pelengkap cerita, Wanita UMNO adalah pencetus gerakan, penggerak akar umbi dan penguat semangat. Perkukuh perpaduan, pertahankan UMNO.
“Jangan biarkan anasir luar menumbangkan kita. Jangan benarkan perbezaan memecahbelahkan kekuatan yang kita bina. Apabila Wanita UMNO bersatu, tiada gelombang yang mampu menghalang kita,” katanya lagi.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Johor, Rina Farhana Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof, dan seluruh perwakilan Wanita UMNO Bahagian Mersing. – UMNO Online