Tetap Setia Dan Terus Bekerja Menangkan UMNO/BN – Noraini

MERSING, 20 Jun – Wanita UMNO terus menunjukkan kesetiaan kepada parti dan bekerja keras untuk memenangkan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang, kata ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pelbagai usaha telah dicurahkan oleh Wanita UMNO sebelum ini dalam usaha untuk meletakkan UMNO/BN sebagai parti dominan.

“Sebab itu kita nak menang kembali pada PRU akan datang. Wanita ini, dialah isteri… dialah yang juga memasak di rumah, cuci baju… Bukan terhenti setakat itu sahaja. Sebab, Wanita UMNO juga tukang kempen dan pantau bancian sikap. Tugasan Wanita menyeluruh macam ‘super woman’. Itulah wanita-wanita UMNO Malaysia terutamanya di Mersing ini.

“UMNO ini lahir di Johor. Dulu kalau orang cakap mengenai Parlimen, kita yang paling besar sebab ada 26 bahagian. Tetapi dalam pilihan raya yang lepas, hanya sembilan sahaja (menang). Jadi, kita terasa… apa yang Wanita dan juga jentera tak buat? Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kita menang besar. Tetapi PRU kita kalah. Hakikatnya kita kalah.

“Kita kena ambil iktibar, jujur dan tengok kelemahan. Mungkin ketika itu orang bukan tidak suka ‘dacing’, jentera… tetapi tsunami ketika itu buat mereka terikut-ikut. Percaya sangat kepada fitnah. Memang pedih nak menerima hakikat kekalahan. Bukan satu penggal tetapi dah dua penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Mersing, di sini, sebentar tadi.

Ujarnya, Wanita UMNO terutamanya di Bahagian Mersing perlu menyusun strategi dengan teliti untuk meraih kembali kepercayaan rakyat agar memilih UMNO/BN sebagai pemerintah.

“Luka lama jangan kita ungkit lagi. Walaupun masih baru dan parut belum sembuh lagi. Kita kena belajar dan terus setia kepada parti. Tetapi saya percaya Wanita UMNO tetap akan setia kepada parti dan tidak akan mundur ke belakang.

“Jangan ulang kesilapan kita. Apa yang penting, kita fokus untuk menangkan semula UMNO/BN. Nak menang kena ada banyak strategi. Hidup ini pendek. Sebab itulah kalau ada peluang nak buat kebaikan, bantu masyarakat, buat dengan segera. Kalau ada masa untuk pertahan anak-anak kita, kita pertahankan demi masa depan mereka. Lakukan sekarang dan itulah yang Wanita UMNO sedang buat.

“PRU ini bukan soal nak menang kerusi sahaja tetapi soal macam mana nak pastikan anak-anak yang bakal memegang masa hadapan negara untuk pihak kita. Siapa nak pastikan nasib wanita, ibu tunggal dan warga emas? Siapa yang nak pastikan bantuan untuk mereka ini semua terjamin?” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Wanita UMNO bekerja keras dan tanpa henti untuk membuktikan bahawa UMNO/BN merupakan sebuah parti yang berkredibiliti serta layak memerintah negara secara total.

“Sebab itu kita bekerja ‘non-stop’. Bukan sebab hanya nak menang pilihan raya. Kita nak pastikan Malaysia ini dijaga oleh parti yang ada kredibilitinya. Parti itu sudah semestinya adalah UMNO/BN.

“Betul, kita jadi sebahagian kerajaan. Tetapi kena ingat bahawa kita kalah. UMNO ada 26 kerusi sahaja. Tuanku yang bijaksana telah memerintahkan kita bentuk Kerajaan Perpaduan. Sebab itu kita jadi sebahagian daripada Kerajaan. Tetapi, kita tak boleh lupa yang kita kalah. Kalau kita kalah lagi sekali dan tiada ruang untuk jadi kerajaan, apa yang akan jadi?

“Jangan biarkan ianya terjadi. Sebab itulah dalam keadaan pelbagai tekanan, kita tetap harus terus berusaha. Kita perlu terangkan kepada pengundi-pengundi terutamanya lebih 50 peratus anak muda ini bahawa UMNO/BN adalah parti yang terbaik di Malaysia ini,” katanya lagi.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Johor, Rina Farhana Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof, Ketua Wanita UMNO Bahagian Mersing, Malatimah Bandi dan seluruh perwakilan Wanita UMNO Bahagian Mersing. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79