Buku Panduan Naratif UMNO Perjelas Isu, Tangkis Tohmahan – Gulam Muszaffar
KUALA LUMPUR, 25 Jun -Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menyatakan bahawa Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia merupakan sebuah dokumen komprehensif dan mampu memberikan penjelasan tuntas kepada akar umbi parti, khususnya dalam persidangan bahagian-bahagian yang sedang berlangsung termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Jelas beliau, buku ini mengandungi maklumat serta perincian penting yang perlu difahami oleh akar umbi dan boleh dijadikan panduan serta rujukan utama dalam menjelaskan realiti isu sebenar menerusi mesyuarat-mesyuarat persidangan yang sedang diadakan di peringkat bahagian dan sayap.
“Inilah sebenarnya tujuan buku ini diterbitkan iaitu khusus untuk akar umbi, agar mereka jelas dan tidak terpengaruh dengan sentimen negatif yang boleh menghakis kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau mengakui wujudnya pelbagai ‘faction’ dan lontaran permainan politik di peringkat bawahan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian parti jika tidak ditangani dengan bijak.
“Kalau kita terangkan perkara ini kepada pihak luar, mereka tetap memilih untuk mempercayai naratif lapuk seperti isu UMdap, Adendum, atau DNAA melibatkan 47 kes mahkamah Presiden UMNO. Tetapi apabila penerangan diberikan kepada akar umbi, ia memberi impak yang lebih bermakna dan berkesan,” ujarnya.
Gulam yakin bahawa sekiranya seramai 3.6 juta ahli akar umbi UMNO bersatu hati, setia dan senada, ia akan menjadi satu gelombang maklum balas yang besar, khususnya di media sosial.
“Inilah naratif sebenar yang perlu kita sampaikan. Dalam masa yang sama, akar umbi juga perlu dibekalkan ‘peluru’ untuk menangkis setiap tohmahan yang dilemparkan terhadap parti dan kepimpinan,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar seluruh akar umbi terus memperkasakan parti demi memastikan UMNO kembali menjadi kuasa dominan dalam kerajaan.
“Kita perlu memperkukuhkan kekuatan dalaman parti. Sekiranya ini berjaya dilakukan, tidak akan timbul sebarang isu atau masalah untuk UMNO kembali menjadi dominan dalam kerajaan.
“Kekuatan akar umbi mampu mengembalikan keyakinan rakyat, dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti, tidak mustahil rakyat akan memberikan kepercayaan semula kepada calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Jika diizinkan rezeki oleh Allah, Insya-Allah, UMNO akan kembali menjadi teraju utama dalam kerajaan dan bakal melahirkan Perdana Menteri akan datang,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, pada 9 Jun lalu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said telah melancarkan Buku Naratif UMNO Malaysia sebagai inisiatif memberi pencerahan kepada ahli parti dan rakyat mengenai pelbagai isu semasa berkaitan parti.
Buku panduan ini disediakan khusus sebagai rujukan komunikasi bagi semua pemimpin dan jentera UMNO dalam menghadapi Mesyuarat Bahagian Tahun 2025.
Ia turut memuatkan naratif utama parti serta penjelasan terhadap isu-isu semasa sebagai persediaan untuk menjawab persoalan daripada rakyat dengan lebih berkesan. – UMNO Online